Dua peserta Da’i telah disingkirkan! Para penonton dikejutkan dengan keputusan apabila Da’i Aishah dan Da’i Daeng diumumkan sebagai peserta terawal yang meninggalkan pentas Da’i manakala 2 lagi peserta Da’i yang tersenarai sebagai 4 peserta tercorot iaitu Da’i Niezal dan Da’i Aini terselamat.
Episod yang telah berlangsung pada malam Ahad lalu menyaksikan 9 peserta Da’i iaitu Da’i Saiful, Da’i Irfan, Da’i Aini, Da’i Hazman, Da’i Azrin, Da’i Nasrul, Da’i Syed, Da’i Niezal dan Da’i Ahmed menyampaikan sebuah tazkirah selama tiga minit yang bertemakan “Solat Tiang Agama”.
Da’i Saiful ternyata menjadi pilihan panel juri awam sekali lagi apabila mendapat markah penuh (10 markah) dengan topiknya Sempurnakan Wudukku. Selain itu, Da’i Azrin, Da’i Nasrul dan Da’i Syed juga berjaya mendapat markah penuh daripada panel juri awam dengan huraian tazkirah yang berjaya menusuk di hati penonton.
Walaupun Da’i Irfan tersenarai sebagai 3 peserta tercorot pada episod yang lalu tetapi dia berjaya membuktikan kebolehannya apabila dia mendapat 8 markah dari panel juri awam dengan topiknya Indahnya Istikharah.
Seperti biasa, penonton juga boleh melayari www.tv3.com.my/dai untuk mengundi da’i pilihan dan berpeluang memenangi hadiah menarik dengan menyertai kuiz mingguan. Episod keempat menyaksikan Da’i Saiful mendahului peserta yang lain diikuti dengan Da’i Aini, Da’i Syed, Da’i Azrin dan Da’i Hazman. Pada penghujung program ini nanti, juara musim keempat bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 50,000 dan sebuah trofi.
Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-4 yang dicergaskan oleh Almas Beauty & Health… Penghulu Segala Produk bersiaran secara langsung dari studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral pukul 9.00 malam hingga 10.30 malam.
Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-4 menampilkan Datuk Rosyam Nor sebagai hos, Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail sebagai hos bersama dan Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai Mursyid (ketua mentor) yang akan memantau secara keseluruhan prestasi para peserta sambil dibantu oleh dua orang Murabbi (mentor) iaitu Ustaz Zul Ramli Mohamad Razali dan Dr. Robiah K. Hamzah. Seperti musim yang lalu, kesemua peserta ini dikuarantin untuk mendapat tunjuk ajar dari mentor (kelas) dan aktiviti lain.
Pada setiap minggu, para peserta perlu menyampaikan tazkirah selama 3 minit mengikut topik yang telah ditetapkan secara berhikmah dengan gaya tersendiri dan penampilan menarik. Persembahan mereka akan dinilai oleh dua juri tetap profesional iaitu Ustaz Dr Izhar Ariff dan juga Ustaz Zarifi. Pemarkahan peserta terbahagi kepada 70% (juri profesional), 20% (murabbi – Ustaz Zul Ramli & Dr. Robiah K. Hamzah) dan 10% daripada juri awam.
Pada episod keempat yang lepas, panel juri awam terdiri daripada Datin Maziah, pengasas Almas Beauty & Health, Talha Harith, Anwar Afiq, Afzan Rahman, Fedtri Yahya, Sabhhi Saddi, Yatt Hamzah, Liza (Kool FM), An Nur (Clever Girl) dan Adilah (Clever Girl).
Topik yang telah dipersembahkan oleh 9 peserta Da’i ialah:
Nama peserta | Topik |
Da’i Saiful (Mohamad Saiful bin Marzuki)
Permatang Pauh, Pulau Pinang 18 Tahun Sijil Pelajaran Malaysia, Sekolah Menengah kebangsaan Agama Al Irshad, Pulau Pinang |
Sempurnakan wudukku
Rasulullah s.a.w bersabda, “sesiapa yang mengambil wuduk dengan baik, dosa-dosanya keluar dari badannya sehingga keluar dari bawah jari-jarinya |
Da’i Irfan (Mohd Nourul Irfan bin Niamat)
Kedah 25 Tahun Sijil Tinggi Agama Malaysia di Madrasah taklimiah Khaiririah |
Indahnya Istikharah
Jika timbul keraguan dalam hati untuk memilih @ menetapkan sesuatu keputusan ; maka dirikanlah solat sunat istikharah & berdoalah |
Da’i Aini (Wan Nuraini binti Wan Rosdi)
Johor 21 Tahun Ijazah Sarjana Muda Fiqh & Fatwa (kepujian), Universiti Sains Islam Malaysia |
Menghadap Kiblat
Menghadap kiblat merupakan salah satu syarat sah solat. Kiblat merujuk kepada arah solat bagi orang Islam |
Da’i Hazman (Mohd Hazman Yani bin Ahmad)
Alor Setar, Kedah 29 Tahun Ijazah Sarjana Undang – undang Universiti Kebangsaan Malaysia |
27 Kali Ganda
“ Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27 kali darjat” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim) |
Da’i Azrin (Azrin bin Md Isa)
Bagan Serai , Perak 20 Tahun Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Sekolah Menengah kebangsaan Agama |
Kusyuk Dalam Solat
Imam al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak kusyuk dalam solat adalah dikira sia-sia belaka |
Da’i Nasrul (Muhammad Nasrul Nizam bin Zamry)
Pasir Mas, Kelantan 20 Tahun Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Sekolah Menengah Kebangsaan (agama) Falahiah |
Rahsia Dhuha
Amat rugi orang yang sengaja meninggalkan solat sunat Dhuha sedangkan mereka mampu dan memiliki masa untuk melaksanakannya |
Da’i Syed (Syed Shah Iqmal bin Syed Mohd Shaiful Jamalullail)
Arau, Perlis 21 Tahun Diploma Dirasat Islamiyyah, Kolej Maahad Buuth Al Islamiyah Kaherah, Mesir |
Rukhsah Solat
Allah SWT telah memberi kelonggaran atau keringanan kepada umat Islam dalam mengerjakan ibadah solat dalam situasi tertentu khususnya ketika bermusafir |
Da’i Niezal (Mohd Sufwan Niezal bin Sabri)
Terengganu 19 Tahun Diploma Dakwah & Pengurusan di Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah, Pahang |
Solat Mi’raj Hamba
Solat adalah penghubung hamba dengan Tuhannya, penghapus dosa & pendinding daripada maksiat. Solat adalah amalan pertama yang akan dihitung |
Da’i Ahmed (Ahmed Ibrahim bin Ahmad)
Sungai Besar, Selangor 23 Tahun Diploma & hadith di kolej Darul Quran JAKIM |
Solat & Taharah
Solat tidak sah tanpa taharah yakni ‘bersih’. Sesuai dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, “ Allah tidak menerima solat orang yang tidak bersuci” (Hadis Riwayat Muslim) |
Sidang produksi Da’i Pendakwah Nusantara diketuai oleh Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail selaku penerbit eksekutif dan Shukri Ibrahim sebagai penerbit. Saksikan Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-4 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 – 10.30 malam (siaran ulangan pada setiap hari Jumaat berikutnya pada pukul 10 pagi). Jurnal Da’i yang memaparkan aktiviti kelas bersama Murabbi (mentor) dan Mursyid, persediaan peserta serta emosi dan personaliti peserta pada setiap hari Sabtu dan Ahad, pukul 7.58 malam. Da’i Pendakwah Nusantara dimeriahkan lagi dengan rakan ukhwah iaitu stesen radio Kool FM dan portal video tonton.
Penonton boleh melayari www.tv3.com.my/dai untuk paparan video-video ekslusif, mengundi peserta pilihan kegemaran anda dan juga berpeluang untuk memenangi hadiah menarik di kuiz mingguan.
Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, layari laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia.Gunakan hashtag #DaiTV3 untuk hangatkan lagi perbualan tentang program ini di laman sosial. Penonton juga boleh menyaksikan program ini melalui tonton di www.tonton.com.my.