SEARCH BAKAL MENGGEGARKAN NEGARA DENGAN SIRI “KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH”
– Konsert ulangtahun ke-30 Search adalah sebagai menghargai sokongan peminat-peminat setianya sepanjang bergiat di dalam industri muzik Malaysia
SEARCH, kumpulan rock legenda yang amat disegani di dalam industri muzik Malaysia menyambut ulangtahunnya yang ke-30 pada tahun ini dan untuk meraikan detik bersejarah tersebut, SEARCH akan muncul di dalam siri konsert jelajah seluruh negara yang dinamakan KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH.
Di dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Annexe Gallery, Central Market Kuala Lumpur, SEARCH yang di anggotai oleh Amy (vokalis), Kid (gitar utama), Nasir (gitar bass), Nordin (gitar irama) dan Yazit (dram) telah mengumumkan secara rasmi berkenaan penganjuran konsert besar-besaran ini yang akan mula menggegarkan negara pada 19 November 2011 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang. Ini diikuti dengan konsert di Stadium Yunos, Larkin Johor Bahru pada 3 Disember 2011 dan seterusnya sebagai penutup, di Padang Astaka, Kuala Lumpur pada 17 Disember 2011.
Nasir Daud yang juga selaku ketua kumpulan SEARCH menyatakan, “Kami akan mempersembahkan lebih kurang 20 buah lagu dari album-album kami yang lama dan baru. Dari segi produksi pula, kami menjanjikan satu pengalaman yang hebat dengan rekaan pentas, sistem bunyi, pencahayaan dan aspek-aspek teknikal lain yang segalanya dirancang dengan teliti oleh pihak penganjur”.
Ketika mengulas di sidang akhbar tersebut, Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy, berkata, “SEARCH amat berbangga dengan pencapaiannya yang mampu bertahan selama 3 dekad di dalam industri seni tanahair justeru mempertahankan muzik rock di Malaysia. Ini adalah sangat mustahil tanpa sokongan kuat para peminat setia kami yang tidak berbelah bahagi. Penganjuran konsert ini adalah sebagai menghargai sokongan tersebut”.
SEARCH yang ditubuhkan pada tahun 1981 di Johor Bahru, adalah kumpulan rock tersohor negara dan pernah menghasilkan lebih daripada 25 buah album yang mendapat sambutan hangat termasuk album rakaman studio dan “live”. Sepanjang pembabitannya di dalam bidang seni, SEARCH pernah membuat persembahan bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di rantau Asia, Eropah dan juga di Amerika. Lagu-lagu kumpulan ini seperti Cinta Buatan Malaysia, Meniti Titian Usang, Fenomena, Rozana, Mentari Merah di Ufuk Timur dan Isabella, bukan sahaja masih menjadi siulan para peminat muzik negara dari generasi yang terdahulu, malah terus menjadi kegilaan generasi baru membuktikan pengaruh SEARCH yang besar ke atas peminat-peminatnya.
Nasir Daud yang juga selaku ketua kumpulan SEARCH menyatakan, “Kami akan mempersembahkan lebih kurang 20 buah lagu dari album-album kami yang lama dan baru. Dari segi produksi pula, kami menjanjikan satu pengalaman yang hebat dengan rekaan pentas, sistem bunyi, pencahayaan dan aspek-aspek teknikal lain yang segalanya dirancang dengan teliti oleh pihak penganjur”.
Pihak penganjur KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH iaitu Oracle Accord menyatakan bahawa para peminat SEARCH akan dihidangkan dengan produksi yang dijamin berkualiti. Oracle Accord telah mengimport jurutera bunyi terkemuka dari Singapura iaitu Yamaguchi yang pernah terlibat dengan konsert-konsert bertaraf antarabangsa seperti konsert Black Eyed Peas. Ujar penganjur lagi, perancangan dan persediaan rapi adalah prioriti utama untuk memastikan semua pihak bukan sahaja berpuas hati, malah menganggap ini adalah konsert terhebat setakat tahun ini.
Ketika mengulas tentang konsep konsert ini, Oracle Accord menyatakan bahawa ianya adalah lebih kepada satu festival di mana penonton akan disajikan dengan kehangatan muzik rock selama 7 jam bermula dari 5 petang. Sebelum kumpulan SEARCH sendiri akan naik ke pentas untuk menghiburkan peminat-peminatnya, mereka akan terlebih dahulu dihiburkan dengan beberapa buah kumpulan rock yang sedang meningkat naik di tanahair. Para peminat SEARCH juga berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah yang disediakan oleh para penaja konsert tersebut.
“Saya bagi pihak kumpulan SEARCH berharap anda semua akan datang beramai-ramai untuk meraikan ulangtahun ke-30 SEARCH dan untuk berhibur bersama-sama kami. Konsert ini adalah hadiah kami untuk para peminat setia SEARCH dan kami berjanji akan memberikan persembahan penuh gegaran untuk memuaskan hati anda semua” jelas Nasir lagi.
Tiket-tiket bagi KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH boleh mula dibeli di cawangan-cawangan Petronas yang mengambil bahagian, Rock Corners dan wakil jualan sah yang tersenarai di www.tickethotline.com.my dan berharga RM59 untuk konsert di Pulau Pinang dan Larkin, manakala harga tiket bagi konsert di Kuala Lumpur adalah RM69. Sebagai promosi, pihak penganjur telah mengumumkan bahawa terdapat diskaun sebanyak 15% bagi harga tiket-tiket yang dibeli secara online bermula daripada 6 Oktober hingga 13 Oktober 2011. Peminat-peminat SEARCH juga boleh melayari laman rasmi KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH di http://www.facebook.com/SEARCH30 untuk maklumat lanjut.
(Dari kiri): Jerome Lee, Pihak Penganjur, Oracle Accord; Anggota kumpulan SEARCH – Yazit (dram), Amy (vokalis) dan Nasir (gitar bass) di sidang akhbar “KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH”.
Lagu-lagu kumpulan SEARCH seperti Cinta Buatan Malaysia, Meniti Titian Usang, Fenomena, Rozana, Mentari Merah di Ufuk Timur dan Isabella, bukan sahaja masih menjadi siulan para peminat muzik negara dari generasi yang terdahulu, malah terus menjadi kegilaan generasi baru membuktikan pengaruh SEARCH yang besar ke atas peminat-peminatnya.
Suasana gamat di Annexe Gallery selepas SEARCH mengumumkan secara rasmi berkenaan penganjuran konsert besar-besaran yang akan mula menggegarkan negara pada 19 November 2011 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang. Ini diikuti dengan konsert di Stadium Yunos, Larkin Johor Bahru pada 3 Disember 2011 dan seterusnya sebagai penutup, di Padang Astaka, Kuala Lumpur pada 17 Disember 2011.