[dropcap]P[/dropcap]asangan pelakon sejoli, Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari dikhabarkan akan mengerjakan umrah buat pertama kalinya selepas mendirikan rumah tangga tahun lalu. Wah, itu dah bagus! Difahamkan mereka sudah pun mendaftar dengan sebuah agensi perkhidmatan umrah dan perkara utama yang ingin dimohon mereka di depan Kaabah adalah supaya dikurniakan anak.
Menurut Scha Alyahya:
“Kami merancang mengerjakan umrah pada minggu kedua atau ketiga Ramadan ini. Kemungkinan kami akan berada di sana selama 10 hari. Keluarga saya dan Awal akan turut sama mengerjakan umrah. Tidak dinafikan memang kami pergi ke sana untuk berdoa mendapat cahaya mata. Selain itu, kami juga ingin berdoa agar lebih dimurahkan rezeki.”
Pertama kali bakal mengerjakan umrah, juga mengakui berasa takut dan dalam masa yang sama teruja mahu menjejakkan kaki ke Tanah Suci itu. Sebagai persiapan dia ada membeli beberapa buku panduan mengerjakan umrah selain menghadiri kursus untuk mendapat gambaran dan sedikit ilmu.
“Awal sudah pernah mengerjakan umrah, sebaliknya saya baru pertama kali. Sejujurnya, saya akui takut sebab pertama kali pergi ke sana dan dalam masa yang sama teruja untuk mengerjakan umrah. Saya juga teringin melihat keadaan di sana.”
Dalam perkembangan lain, Scha bakal muncul menerusi filem Papadom 2 dan filem aksi, Dampak selepas Aidilfitri nanti. Good luck, Scha!