Pengacara dan pelakon genit Sazzy Falak bakal muncul sebagai hos program bertajuk “In Voque” yang menemui penonton mulai 1 Mei ini, setiap Jumaat, pukul 4.30 petang menerusi TV2.
Program 13 episod ini mengetengahkan sesi makeover kepada seorang tetamu dalam setiap episod yang berbeza. Menariknya tetamu undangan merupakan golongan wanita dan gadis yang bekerjaya namun masih tercari-cari penampilan yang sesuai untuk digayakan oleh mereka.
Menerusi episod pengenalannya, rancangan berbahasa Inggeris ini mengundang Fazrina, seorang tenaga pengajar kelas tae kwan do dan juga pengawal peribadi sambilan. Didorong dengan kerjayanya yang agak lasak, penampilan Fazrina tampak lebih maskulin berbanding wanita lain.
Bosan sentiasa diperhatikan dan disindir tampak tomboy seperti lelaki, Fazrina mahu dirinya di makeover dan Sazzy Falak menawarkan diri untuk melakukan transformasi kepadanya.
Begitu pun usaha untuk membentuk imej lebih feminin kepada Fazrina tidak mudah di mana Sazzy dan perunding imej terpaksa memujuk dan meyakinkan Fazrina. Ia kerana idea untuk mengubah imej seseorang adalah proses sukar kerana perlu meninggalkan yang lama dan menerima transformasi diri yang baru.
Fazrina melalui situasi yang janggal dan ianya disedari Sazzy dan perunding imej. Mereka cuba untuk memastikan perubahan imej Fazrina tidak secara mendadak sebaliknya beransur-ansur dan semulajadi.
Meskipun pada mulanya agak sukar bagi Fazrina untuk membiasakan diri, namun dia berani mencuba. Apatahlagi penampilannya yang baru ini perlu disesuaikan dengan kerjayanya yang lasak.
Oleh kerana Fazrina seorang penggemar jeans, penampilan itu dikekalkan. Namun jeans dan jaket yang menonjolkan dirinya kini ditambah dengan bunga yang menampakkannya lebih feminin dan menawan. Walaupun bunga pada jaket difikirkan bakal lebih menonjolkan penampilan Fazrina, namun ianya bakal memberikan kejutan kepada semua dengan kemunculan Fazrina yang baru.
Siapakah tetamu undangan seterusnya yang bakal melalui proses transformasi imej ini? Pastikan anda meluangkan masa menyaksikan program ini hanya di TV2.