Hampir dua minggu bersembunyi, akhirnya M Rayhan Kabir berjaya ditemui pihak berkuasa di sebuah kondominium di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Rayhan sebelum ini mencetuskan kontroversi dengan kenyataannya menerusi sebuah video dokumentari terbitan Al-Jazeera melibatkan diskriminasi mengendali kes Covid-19 membabitkan warga asing.
Menerusi laporan Sinar Harian, dia mendakwa kenyataannya itu tidak menipu dan tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah semasa ditemubual Al-Jazeera.
Terbaru, Ketua Pengarah Imigresen iaitu Datuk Khairul Dzaimee Daud mengesahkan penahanan Rayhan Kabir yang diburu sebelum ini adalah bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63. Dia turut mengesahkan bahawa Rayhan akan diusir keluar dan disenaraihitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.
Memetik kenyataannya di The Daily Star Bangladesh memberitahu dia hanya bercakap mengenai diskriminasi terhadap PATI menerusi program terbitan stesen televisyen antarabangsa itu.
Sebelum ini, JIM memohon bantuan orang ramai bagi mengesan Md Rayhan Kabir bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Pada 3 Julai lalu, Al Jazeera menyiarkan dokumentari berjudul Locked Up in Malaysia’s Lockdown dengan Md Rayhan dilihat mengkritik kerajaan Malaysia dan mendakwa wujud diskriminasi dalam mengendali kes Covid-19 membabitkan warga asing.