Penyampai radio, pelawak, pelakon, pengacara dan kini bergelar penyanyi, Issey mengakui masih solo dan tidak mempunyai pasangan istimewa. Hampir tiga tahun menduda, Issey tidak percaya media sosial seperti Facebook atau Instagram menjadi platform atau medium untuknya mencari calon isteri.
Sebelum ini, Issey akui pernah menerima macam-macam mesej daripada wanita yang ingin berkenalan tapi dia tak pernah nak layan sebab tak mahu timbul salah faham di kemudian hari.
“Saya sekarang tak percaya untuk mencari jodoh menggunakan laman sosial sebab lebih baik guna cara konvensional.”
– Issey
Atas alasan yang kukuh mahu terus fokus terhadap kerjaya, Issey bagaimanapun mengakui sedikit sunyi apabila dikelilingi rakan-rakan yang sudah berkeluarga.
Issey Belum Bersedia Cari Jodoh?
“Saya mahu kukuhkan kerjaya dulu, Siapa yang tidak sunyi terutamanya apabila melihat rakan sebaya sudah berkeluarga. Tetapi soal jodoh, semuanya sudah ditentukan Allah.
Sampai masanya apabila bertemu pasangan yang sesuai, pasti saya akan berkahwin. Saya tidak pernah serik berumahtangga.”
– Issey
Namun, bagi Issey atau nama sebenarnya Issey Fazlisham beliau cuba mengelak daripada menjalinkan hubungan dengan selebriti ataupun berkenalan menerusi laman sosial.
“Kalau boleh saya cuba elak daripada mencari bakal pasangan hidup menerusi media sosial kerana ada sisi positif dan negatif apabila kita memulakan perkenalan menerusi media sosial.
Namun, bagi Issey, soal hati rasanya lebih baik perkenalan itu bermula secara empat mata.”
– Issey
Apapun, kemunculan Issey ketika program Bintang Bersama Bintang 2019 semalam,mendapat tepukan gemuruh bukan sahaja dari rakan-rakan yang bertanding tetapi juga penonton yang hadir.
Issey pernah berkahwin dengan Syuhadaa Syafiqqa Abdul Rashid pada 19 Mac 2015 sebelum bercerai pada 21 Ogos 2016. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.