Ramai yang memuji vokal kedua penyanyi itu, namun ada juga yang membandingkan kualiti nyanyian Siti dan Aina.
Bagaimanapun Siti berkata dia menyanyikan lagu Semalam dengan cara dan kemampuannya sendiri serta tidak perlu menjerit. Siti berkata dia turut meminta lagu tersebut digubah semula mengikut kesesuaian vokalnya
“Semestinya suara dia tinggi dan saya tak perlu pergi ke arah itu, tak perlu menjerit. Saya lebih kepada menyanyi dengan cara yang relaks dan semampunya serta sedap didengar,” katanya.
“Saya rearrange balik susunan lagu itu mengikut kesesuaian dan kemampuan saya. Aina juga sampaikan lagi saya dengan sangat bagus, waktu saya pilih lagu ni saya tahu dia boleh bawa dengan baik. Kalau peminat suka, semestinya saya pun gembira,” katanya.
Sementara itu, Siti turut menyuarakan pendapatnya bahawa industri muzik memerlukan pelapis yang berbakat besar seperti Aina.
Mengagumi bakat penyanyi lagu Sepi itu, Siti berkata dia tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan khidmat Aina menggubah lagu baharu.
“Dia seorang penyanyi yang pandai bermain muzik, jadi Aina boleh menghasilkan sebuah lagu yang sangat bagus,” katanya.
Ahad lalu, Siti membawakan lagu Semalam manakala Aina pula menyanyikan lagu hit penyanyi nombor satu itu iaitu Purnama Merindu.