Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof juga ditemani peguam syarie yang mewakilinya, Azmi Mohd Rais.
Kata Syamsul yang memfailkan permohonan nusyuz pada 21 Mac lalu di mahkamah di sini, mengharapkan kemudahan atas sebutan hari ini.
“Doa yang baik-baik sempena bulan puasa ini. Saya nak jaga juga, tak mahu mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya,” katanya ringkas.
Sementara itu, Puteri Sarah tidak hadir dan hanya mewakilkan peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Lebih 30 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 8 pagi untuk membuat liputan.
Terdahulu, Syamsul ketika ditemui media sebelum ini memberitahu, tindakannya memfailkan tuntutan terhadap Puteri Sarah bukan kerana mahu membalas dendam, sebaliknya menyelamatkan rumah tangganya.
Sementara itu, peguamnya, Azmi berkata, Puteri Sarah terbabit dalam beberapa tuntutan nusyuz atas beberapa alasan.
“Syamsul sudah memfailkan kes tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah. Kami berusaha mendapatkan kebenaran menyerahkan saman, memandangkan Puteri Sarah tinggal di Wilayah Persekutuan.
“Jadi, kami akan serahkan saman ini kepada Puteri Sarah dalam masa terdekat ini.
“Nusyuz adalah isteri tidak taat dan derhaka, jadi Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz kepada Puteri Sarah kerana beberapa alasan yang dinyatakan dalam tuntutan.
“Antaranya, Puteri Sarah meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, masih menghubungi bekas kekasih, enggan mematuhi notis nusyuz dan keempat sudah membuat fitnah terhadap Syamsul seperti memukul serta tidak memberi nafkah,” katanya.
Sumber: BH Online