Memetik BH Online, Aida berkata dia tidak mahu memanjangkan isu berkenaan serta menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.
“Saya tak nak komen apa-apa. Saya sedar hanya orang biasa dan tiada pengaruh. Jadi, sekarang tidak perlu saya mendedahkan perbualan WhatsApp atau seumpamanya kerana tak perlu untuk saya panjangkan perkara ini.
“Saya juga tidak mahu melukakan mana-mana pihak. Biarlah perkara ini diselesaikan oleh mahkamah. Saya hanya nak selesaikan dan tamatkan sahaja perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Aida turut menitipkan nasihat kepada wanita di luar sana supya amengambil tahu dan memahami undang-undang untuk kebaikan diri sendiri. Malah, Aida juga percaya pasti akan ada kebenaran di sebalik isu dihadapinya itu.
“Tiada wanita yang mahu melalui perkara ini, jadi saya sendiri mahu menyelesaikan secepat mungkin dan berharap agar semuanya baik-baik sahaja.
“Kepada kaum wanita, tak kisahlah jika anda bekerjaya, suri rumah, ibu tunggal, masih bergelar isteri atau tidak, saya mahu setiap wanita faham undang-undang, faham hak sebagai wanita dan ibu. Golongan wanita patut tahu sistem kehakiman.
“Insya-Allah, hakim dan peguam akan tahu hakikat sebenar, begitu juga orang sekeliling pun akan tahu juga nanti. Jadi, selagi boleh pertahankan, kita harus pertahankan hak. Ibu mana yang mahu berjauhan dengan anak. Segala keputusan saya buat adalah demi kepentingan dan kebajikan anak,” katanya.
Terdahulu, Sam menegaskan dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab dan nafkah anak mereka, Maleeq meskipun pendapatannya terjejas ketika pandemik.