Pelawak dan usahawan popular, Shuib menyatakan dia tidak membenarkan bakal isterinya, Watie Hanifiah terbabit dengan bidang seni selepas mereka berkahwin.
Shuib berkata, setelah mendirikan rumah tangga nanti, dia mahu Watie memberikan sepenuh tumpuan untuk menjaga dia dan anak-anaknya.
Shuib berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media pengumuman tarikh perkahwinan mereka yang berlangsung baru-baru ini.
Dalam sidang media berkenaan, Shuib mengumumkan mereka akan mendirikan rumah tangga pada 23 Jun ini setelah mengikat tali pertunangan pada 5 Mei lalu.
Sementara itu, Shuib yang juga penyampai radio Suria FM tidak menolak kemungkinan untuk menjalankan perniagaan bersama-sama dengan Watie.
Dalam pada itu, Astro mempersembahkan rancangan siri mini terbaharu yang memaparkan detik-detik manis dua bakal mempelai yang akan disatukan dalam ‘Walimatulurus Shuib & Watie’.
Program istimewa ini akan menemui para penonton pada 24 Jun ini di saluran Astro Ria dan akan disiarkan sebanyak tiga episod.