Neelofa hamil masih meninggalkan tanda tanya dan tuan punya badan juga masih berteka teki di mana dia tidak mengiyakan atau menafikan sebaliknya menunggu masa yang tepat untuk mengumumkan perkara tersebut sekiranya benar sedang hamil.
Itu jawapan ‘selamat’ usahawan dan selebriti sensasi, Neelofa saat diminta mengesahkan desas-desus kehamilannya yang diperkatakan ramai sejak Julai lalu.
Katanya, dia juga punya sebab kukuh sama ada mahu tidak menjawab atau menjawab soalan berhubung isu kehamilan.
“Kalau benarlah desas-desus itu betul atau pun tidak, saya akan menanti masa tepat untuk berkongsi dengan orang ramai kerana jika ada berita gembira yang kita mahu dengar, pasti kita mahu doa orang ramai.
“Rakan-rakan artis yang lain pun sama, jika mereka turut mendapat berita sama (mengandung), pastinya mereka menanti saat yang tepat untuk dikongsikan.
“Insya-Allah jika saya ada berita gembira itu, pada masa yang tepat nanti mesti saya kongsikan,â€
– Neelofa
Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, berkata demikian pada majlis sumbangan program Bakul Kasih PRIHATIN-MAIWP yang diadakan di Surau Al- Mustaqim, PPR Pinggiran Bukit Jalil.
Pada majlis ini, Neelofa yang mewakili Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN) bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Kasih Prihatin Nasional (PRIHATIN) menyerahkan sumbangan kepada keluarga asnaf yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Biarpun tetap berteka-teki, Neelofa yang turut ditemani suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail, atau PU Riz, menyerlah dan memperlihatkan ‘baby bump’ dengan jelas dalam busana putihnya.
Biarpun berdepan sedikit tekanan, pada masa sama Neelofa tetap meminta orang ramai mendoakannya yang baik-baik, terutama keterujaan banyak pihak yang menantikan pengesahan berita gembira itu daripada mulutnya.
“Saya berharap orang ramai dapat memahami perkara ini dan doakan yang baik-baik sebab saya sangat perlukan doa sebagai satu perlindungan.
“Saya faham kedudukan saya di mana orang yang mengharapkan perkongsian ini. Insya-Allah ia (pengumuman) akan dibuat dengan baik.
“Saya akan kongsikan kepada semua kerana ia bukanlah sesuatu berita buruk yang perlu disorokkan. Bayi lelaki atau perempuan, saya tak kisah,â€
– Neelofa
Ditanya lagi sama ada pengumuman terbabit akan dibuat dalam waktu terdekat, Neelofa memaklumkan dia masih dengan jawapan sama.
“Saya akan beritahu bila semuanya dah betul-betul pasti. Sebagai contoh kalau kandungan sudah benar stabil baharu semua itu akan dikongsikan,â€
– Neelofa
Terdahulu, sejak beberapa bulan lalu khabar angin mengenai kehamilan bekas pengacara MeleTOP itu hangat diperkatakan selepas dia dilihat menunjukkan tanda-tanda ibu mengandung apabila asyik mengusap bahagian perutnya.
Bukan hanya pada siaran langsung menerusi Instagram mempromosikan tudung keluarannya, paling ketara ketika hadir ke Mahkamah Seremban bagi sebutan semula kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), 24 September lalu.
Begitupun, walau dihujani pelbagai soalan dan ucapan tahniah di laman sosial, tiada sebarang bayangan diberi hinggalah semalam apabila dia memuat naik video menggunakan aplikasi tekaan wajah bayi hasil gabungan rupa paras ibu bapa.
Sebelum ini, kedua-dua pasangan yang mendirikan rumah tangga di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac lalu selesa mendiamkan diri daripada menjawab sebarang spekulasi.
Sementara itu, hadir sama pada majlis penyerahan sumbangan adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.
Sumber: K! ONLINE