Acara ini berlangsung dengan penuh gemilang sebagai sebahagian daripada Festival Kandungan Digital Malaysia 2024 (MYDCF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital.
Kejutan Baharu: Trailer Rasmi Ejen Ali 2
Misi baharu ini mempersembahkan trailer teaser rasmi yang menjanjikan aksi mendebarkan dan misteri yang tidak terjangka. Dipenuhi dengan babak penuh intensiti serta sentuhan emosi yang menyentuh hati, “Ejen Ali The Movie 2” (EATM 2) dijangka menjadi tontonan yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat, dari kanak-kanak hingga dewasa.
Siri Ejen Ali sebelum ini telah mencipta fenomena besar dengan filem pertamanya pada tahun 2019. Kini, sekuelnya membawa kelainan dengan memperkenalkan watak Ejen Ali sebagai juruterbang Projek Satria, sebuah sut berperisai yang dilengkapi dengan teknologi Kecerdasan Buatan (AI). Teknologi ini direka khas untuk meningkatkan kekuatan fizikal dan mental ejen-ejen MATA ketika menjalani misi rahsia mereka.
Barisan Pelakon Suara yang Dikekalkan
Dalam EATM 2, penonton akan dapat mendengar semula suara-suara yang sudah sinonim dengan watak-watak kesayangan mereka. Antaranya termasuklah Ida Rahayu Yusoff sebagai suara Ejen Ali, bersama watak kucingnya, Comot. Pelakon suara lain yang turut kembali ialah Noorhayati Maslini Omar sebagai Ejen Alicia, Shafiq Isa sebagai Ejen Bakar, serta Azman Zulkiply yang membawakan watak Rizwan dan Jeneral Rama.
Menurut En. Usamah Zaid Yasin, pengarah filem ini dan juga Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, “Kami amat teruja untuk mempersembahkan misi baharu ini kepada peminat setia Ejen Ali. Proses penghasilan EATM 2 mencabar kami untuk meningkatkan kualiti dari segi teknik produksi dan jalan cerita. Kami berharap agar peminat akan menyukai jalan cerita kali ini, dan tidak sabar untuk melihat respons mereka di pawagam nanti.”
Peluang Kolaborasi dan Penyertaan Aktiviti Menarik
Bagi pihak Primeworks Studios, Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif, turut menambah, “Ejen Ali The Movie 2 adalah antara projek yang sangat dinantikan oleh kami. Kami sangat menghargai sokongan berterusan peminat, serta kerjasama yang diberikan oleh MDEC. Kami juga ingin membuka peluang kepada rakan kongsi untuk meneroka lebih banyak kandungan penjenamaan, program pelesenan, dan pembarangan yang berkaitan dengan Ejen Ali.”
Bagi anda yang ingin merasai pengalaman lebih dekat dengan Ejen Ali, pastikan anda tidak terlepas peluang menyertai aktiviti-aktiviti menarik di ruang pameran MYDCF Hall 4, KL Convention Center. Antara aktiviti yang boleh disertai adalah kuiz tentang Ejen Ali, pameran jualan barangan dagangan Ejen Ali, serta peluang untuk memenangi Samsung Smart TV bersaiz 65 inci! Anda hanya perlu mendaftar sebagai ahli baru dan melanggan pelan Tonton atau membuat pembelian barangan dagangan di reruai tersebut.
Tayangan Rasmi Trailer Ejen Ali The Movie 2
Tayangan rasmi teaser trailer bagi “Misi: First Look Ejen Ali The Movie 2” akan disiarkan secara langsung pada 13 September 2024, jam 9.00 malam, di saluran YouTube rasmi Ejen Ali. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi antara yang pertama menyaksikan misi baharu ini dengan mengunjungi www.youtube.com/ejenali.
Jadi, kepada semua ejen! Persiapkan diri anda untuk misi rahsia yang akan datang, dan laporkan diri anda segera!