Tidak hanya dari segi penampilan, Meer Nash turut memanfaatkan gelaran itu dengan mula berjinak-jinak dalam bidang penciptaan lagu apabila menghasilkan single berjudul SARANGHAE yang mengetengahkan muzik dan eleman K-Pop. Bagi Meer Nash atau nama sebenarnya Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul single SARANGHAE yang diterbitkan oleh Universal Music Malaysia (UM) yang dilancarkan secara rasmi pada 18 Jun ini adalah percubaan dan pertaruhan pertamanya bergelar komposer dan penulis lirik secara serius.
Malah, pengalaman itu adalah sesuatu yang berharga buat diri dan kerjayanya kerana segala apa yang diminati dan diinginkan selama ini dapat diterjemahkan dalam lagu SARANGHAE.
“Lagu SARANGHAE ini adalah hasil karya saya sendiri. Kalau ikutkan lagu ini bukan lagu pertama saya. Sebelum ini saya pernah tulis beberapa lagu, tapi saya berasakan masih belum cukup bagus lagi untuk diketengahkan. Namun, apabila saya menulis lagu ini saya suka dan ia boleh dikomersialkan.â€
“Alasan kenapa nak masukkn elemen dan frasa Korea kerana selepas ICYVMY orang mula panggil saya Oppa Malay. Jadi saya nak gunakan identiti yang diberikan itu. Berdasarkan penampilan saya, jadi keputusan masukkan eleman K-Pop dalam lagu ini sedikit sebanyak menjawab alasan ini.â€
“Saya tulis melodi dulu yang memang ada bunyi muzik K-Pop, dari situ idea muncul untuk lirik dan keseluruhan lagu ini. Dari melodi pertama lagu ini, saya sudah tahu lirik apa yang sesuai. Saya mahu buat lagu ini macam lagu-lagu lama Justin Bieber yang memuja dan memujuk wanita,†katanya.
Walaupun muzik yang ingin dipersembahkan dalam lagu SARANGHAE sesuatu yang digemari, Meer Nash mengakui ia bukan semudah yang disangka apatah lagi ketika ingin menyiapkan lagu ini.
“Selepas habiskan bahagian korus, saya sangat suka. Tapi bahagian ‘verse’ yang saya tulis tak berapa suka. Jadi, saya jumpa seorang rakan juga pemuzik. Cuma dia tak pernah tulis lagu. Saya ajak dia tulis bahagian ini bersama-sama. Tak sampai sejam, kami dapat siapkan lagu ini.â€
“Lirik lagu ini pada awalnya saya berasa kosong. Sebab ini pertama kali saya tulis lagu dan lirik. Saya ada bertanya pada kawan juga. Sebab dia pernah menyertai grup K-Pop jadi dia tahu cakap Korea. Saya tanya dan minta pendapat dia untuk muzik lagu ini. Dia ada idea tersendiri dan dia bantu saya. Selepas siapkan lagu ini, saya ada rujukan idea untuk gubahan muzik lagu.â€
“Saya bertanya pula pada rakan lain sama ada dia kenal mana-mana penggubah muzik yang boleh realisasikan perkara ini. Saya jumpa penggubah muzik dan ada tambah elemen lain supaya ia lebih menarik. Saya kalau boleh tak nak K-Pop semata-mata. Jadi, bahagian korus ada eleman reggaeton. Saya nak sesuatu yang segar. Banyak kali juga tukar gubahan muzik sebelum dirakamkan,†katanya.
Dalam masa sama, Meer Nash berkongsi lagu SARANGHAE itu dirakamkan dua kali kerana tidak berpuas hati dengan hasil rakaman pertama.
“Masa nak pilih lagu untuk single baharu, pihak UM hantar banyak demo lagu. Semua ok, tapi tak kena jiwa saya. Saya nak yang ala-ala K-Pop sebab saya percaya dengan muzik ini. Itu sebab saya cuba hasilkan lagu SARANGHAE ini dan memang mahu kedepankan elemen ini.â€
“Pertama kali rakam, saya suka ‘vibes’ sebab mudah nak lontarkan vokal. Dengar di studio okay, tapi dengar di rumah macam ‘plain’. Sedangkan ketika itu sudah siap ‘mastering’. Jadi, saya minta nak rakam semula dan janji akan lebih baik. Rakaman kedua barulah menjadi.â€
“Jurutera bunyi yang terbabit pun tahu yang mana kekuatan mereka adalah buat lagu rancak macam ini. Jadi, mereka tanya saya bahagian mana nak tambah harmoni dan lain-lain. Saya kalau boleh nak orang ingat bahagian-bahagian dalam lagu ini. Dari awal saya buat melodi dan lirik, saya sudah dapat bayangkan susunan lagu ini macam mana. Saya sangat suka dan gembira dengan hasil lagu ini. Semua yang terbabit dalam lagu ini berjaya buat bahagian mereka,†katanya.
Selain tidak sabar menunggu reaksi daripada peminat menerusi lagu SARANGHAE itu, Meer Nash juga teruja untuk beraksi menari dalam video muzik.
“Saya bukan penari profesional, tapi perkara ini yang buatkan saya nak buat dan belajar. Apabila menyertai pertandingan Chinese Bridge ke-16 di Changsha, China pada 2017, di sana ada yang boleh ajar menari dengan cepat. Saya pula jenis yang cepat tangkap.â€
“Cuma selepas balik ke Malaysia, saya tak menari dah. Saya sudah lupa semua. Tapi apabila masuk kelas menari yang disediakan oleh pihak UM, awal-awal saya sangat letakkan usaha untuk ingat langkah. Dari situ boleh majukan diri dan tak nampak janggal.â€
“Diakui memang susah tapi lama-lama okay. Apabila buat penggambaran video muzik, saya berharap semuanya okay,†katanya.
Mengenai single SARANGHAE itu, Meer Nash menyasarkan kelompok peminat muzik K-Pop kerana yakin lagu SARANGHAE itu mudah diterima selain mesra telinga.
“Sasaran saya untuk lagu ini adalah peminat K-Pop. Sebab dalam negara kita ada ramai peminat K-Pop. Jadi, gelaran yang diberikan ini saya nak gunakan sebaiknya. Baik dari segi pakaian, mekap dan muzik itu sendiri. Jadi, itu hala tuju saya ketika ini.â€
“Saya juga berharap masyarakat dan peminat muzik di Malaysia suka. Lagu ini sebenarnya mesra telinga apatah lagi melodi sangat mudah diingati. Ini lagu pertama yang saya tulis dan akhirnya dapat dilancarkan. Saya sangat teruja. Saya cabar diri untuk menghasilkan lagu ini.â€
“Sebelum ini saya tak percaya pada diri yang boleh hasilkan lagu, tapi untuk kali ini saya cuba keluar dari zon itu dan berjaya buat. Tentu saja nak melihat sejauh mana maklum balas orang ramai terhadap karya ini. Orang suka atau tak. Keduanya, saya tidak pernah menari. Saya harap peminat suka walaupun akan ada kritikan. Apa pun saya harap semuanya berjalan lancar,†katanya.
SARANGHAE kini sudah tersedia di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. Manakala, video muziknya pula boleh ditonton di saluran YouTube Meer Nash mulai jam 9 MALAM hari yang sama.