Terdapat beberapa laporan kini menyatakan Samsung Galaxy S21 mungkin hadir tanpa pengecas atau fon telinga dalam kotak pembelian. Media Korea Selatan mendakwa Samsung sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan kedua-dua aksesori tersebut dari kotak Galaxy S21.
Dengan melakukannya, Samsung akan mengikut jejak langkah Apple yang tidak menyertakan pengecas dan fon telinga dalam kotak iPhone 12.
Ironinya, Samsung sebagai pengeluar peranti Android sebelum ini tidak ketinggalan untuk turut serta mengkritik Apple dengan memuatnaik imej yang jelas ditujukan kepada Apple.
Beberapa sumber turut mempercayai, walaupun Samsung tidak membuang kedua-duanya, syarikat itu mungkin akan mengeluarkan fon telinga dan hanya menyertakan pengecas dalam kotak pembelian Galaxy S21.
Bagaimanapun, belum diketahui sama ada Samsung akan mengurangkan harga Galaxy S21 atau sebaliknya, jika aksesori tersebut dikeluarkan.
Sumber: SamMobile