SALURAN MUZIK AKTIF RTM DI ASTRO PADA 16 MAC 2009
Malaysia kini dalam persediaan ke arah penyiaran digital dan mensasarkan penggunaannya menjelang 2012. Sehubungan itu, sebagai salah satu persediaan, kerajaan kini bercadang mewujudkan pelbagai saluran khusus yang memberikan siaran mengikut keperluan masyarakat tertentu seperti saluran khusus untuk berita, hiburan, sukan, kanak-kanak dan lain-lain.
Maka sebagai langkah awal, saluran baharu RTM iaitu Muzik Aktif telah diperkenalkan dalam peringkat percubaan pada 1 Jun 2006 dalam Projek Perintis Pendigitalan RTM.
Muzik Aktif merupakan satu saluran khusus yang menyiarkan program-program muzik dan berkaitan muzikal sepanjang masa. Program-program yang disiarkan ialah klip video para penyanyi tempatan yang meliputi pelbagai genre, bahasa, budaya dan etnik di Malaysia serta program-program hiburan terbitan tempatan dan RTM. Sasaran penonton adalah umum untuk semua peringkat umur. Saluran ini akan bersiaran 24 jam sehari.
Perancangan awal pelaksanaan operasi siaran saluran Muzik Aktif adalah pada 12 Mac 2009 seperti mana yang diumumkan oleh YB Menteri Penerangan dalam Sidang Akhbar Persidangan Industri Kreatif 2009 pada 6 Mac 2009. Bagaimanapun pelaksanaan siaran ditunda hingga pada 16 Mac 2009.
RTM menggunakan platform ASTRO dalam merealisasikan hasrat ini mulai jam 12.01 tengah malam pada 16 Mac 2009. Siaran akan ke udara di saluran 180 ASTRO. Pelancaran saluran Muzik Aktif di ASTRO akan disempurnakan pada 16 Mac 2009 secara langsung jam 9.00 malam dari Auditorium Perdana, Angkasapuri dan disiarkan melalui TV2.