in ,

Salina Salibi, Elly Mazlein dan Siti Elizad Dalam Puasa Terakhir

KISAH PILU IBU DI RUMAH ORANG-ORANG TUA MELATARI DRAMA PUASA TERAKHIR PADA 30 SEPTEMBER 2008 DI RTM2

Hari-hari terakhir puasa yang dijalani sebelum menjelangnya Aidilfitri pastinya lebih bermakna sekiranya dapat diraikan bersama-sama insan tersayang. Terutama bagi golongan penghuni rumah orang-orang tua yang masih memiliki waris untuk meluangkan masa menziarahi mereka.

Kisah seorang ibu yang diabaikan anak kandung sendiri setelah dihantar ke rumah orang-orang tua melatari drama menarik penuh emosi menjelangnya lebaran, Puasa Terakhir disiarkan pada 30 September 2008 (Selasa), jam 9.15 malam di RTM2 yang pastinya menyentuh hati penonton supaya menghargai orang tua masing-masing selagi mereka masih ada.

Ako Mustapha & Siti Elizad

Puasa Terakhir mengisahkan Mak Ani, ibu tua yang ditinggalkan oleh anak-anaknya, Jamal dan Azura di sebuah rumah jagaan orang tua. Mak Ani seolah memahami kesibukan kerja anak-anaknya tidak mahu membebankan mereka justeru hanya menuruti permintaan mereka itu.

Bila tiba Ramadan, Mak Ani bertambah rindu kepada anak-anak dan cucu-cucunya yang telah lama tidak melawatnya di situ.

Gelagat Mak Ani yang sering termenung dan menangis sendirian menarik perhatian Jamal, sukarelawan di rumah jagaan orang-orang tua itu. Jamal adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya tetapi telah kehilangan kedua ibu-bapanya sejak kecil lagi dan dipelihara oleh arwah datuknya. Justeru Jamal menjadi sukarelawan di situ yang sedikit sebanyak meleraikan rindu Jamal pada kasih sayang ibu dan bapanya.

Jamal cuba mendekati Mak Ani tetapi Mak Ani tidak mengendahkan Jamal. Mak Ani menganggap Jamal sekadar cuba mengambil hatinya sahaja. Namun Jamal tidak berputus asa. Setiap masa yang terluang, Jamal cuba berbual-bual dengan Mak Ani.

Dari hari ke hari Mak Ani semakin dapat menerima Jamal dan mereka menjadi semakin mesra. Jamal yang selama ini dahagakan kasih sayang seorang ibu mula gembira kerana menganggap Mak Ani sebagai emaknya sendiri. Mak Ani yang sememangnya merindui anak-anaknya turut berasa gembira dengan kehadiran Jamal yang telah dianggap sebagai anaknya sendiri itu.

Kemesraan Jamal dan Mak Ani pada mulanya dapat diterima baik oleh tunang Jamal iaitu Kejora. Namun begitu Kejora menjadi cemburu apabila Jamal lebih mengutamakan masa dan perhatian pada Mak Ani berbanding dengan dirinya.

Mak Ani yang terlalu rindu kepada anak-anak dan cucu-cucunya jatuh sakit. Jamal berusaha menemani Mak Ani dan menjaga Mak Ani sehingga Mak Ani sembuh. Mak Ani menceritakan kepada Jamal perihal anak-anaknya. Jamal yang berasa kasihan dengan keadaan Mak Ani cuba membantu.

Jamal bertemu dengan Azman memujuknya mengunjungi Mak Ani namun hampa dengan penerimaan dinginnya.

Ramadhan kali itu, Mak Ani dikejutkan dengan kehadiran Azura melawatnya. Mak Ani berasa sungguh gembira dan berharap sangat agar Azura dapat berbuka puasa bersamanya pada hari terakhir mereka berpuasa nanti.

Namun Azura tidak dapat berjanji kerana takut dimarahi oleh suaminya. Mak Ani berasa amat kecewa. Azura cuba memujuk Azman untuk melawat Mak Ani dan menyampaikan hasratnya untuk berbuka puasa bersama anak-anak di hari terakhir bulan puasa nanti.

Termakbulkah permintaan terakhir Mak Ani untuk bersama-sama berkumpul dengan anak-anaknya?
Apakah yang terjadi pada Mak Ani pada hari puasa yang terakhir kali itu?

Puasa Terakhir terbitan ASA XX Sdn Bhd dibintangi lakonan mantap Wan Maimunah, Ako Mustafa, Elly Mazlein, Haeriyanto, Shahronizam, Salina Salibi dan Siti Elizad untuk dihayati dan dijadikan pengajaran seisi keluarga.

Wan Maimunah

Elly Mazlein

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kiefli AF3, Fathil Dani, Aripah Damanhuri Drama Impian Laili

MAWI, MIMIE AISHA DALAM UCAPAN HARI RAYA SIARAN LANGSUNG SALAM LEBARAN