KONGSI PENGALAMAN ARTIS TERKENAL SAMBUT RAMADAN DALAM NOSTALGIA RAMADAN DI TV1
Lumrah kehidupan seorang anak seni bukanlah semuanya dilimpahi dengan kemewahan seperti yang dibayangkan. Di sebalik kejayaan mengukir nama dan dikenali peminat industri seni tanah air tidak kiralah samada menerusi bidang pengarahan, nyanyian mahu pun bidang lakonan, mereka terlebih dahulu pernah melalui suka duka kehidupan yang terakam kemas dalam dalam lipatan diari kehidupan mereka.
Kehadiran Ramadan yang disambut umat Islam mulai 11 Ogos lalu pastinya melakar sejarah kerana Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkongsi pengalaman berpuasa dan sambutan raya semasa kanak-kanak artis antaranya Rosnah Mat Aris, Mamat Khalid, Salih Yaacob, Nabil Rosyam Nor, Aziz Satar, Kartina Aziz, Khatijah Tan, Fauziah Nawi, Jalil Hamid, Ebby Yus dan Norlia Ghani menerusi program Nostalgia Ramadan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 4.10 petang di TV1.
Bermula dengan rentetan kisah bersama pelakon Rosnah Mat Aris yang menceritakan kepada para penonton tentang pengalaman pertama kali berpuasa sewaktu beliau kecil. Dalam episod ini juga, Rosnah turut berkongsi pengalaman pahit apabila rumahnya terbakar pada malam raya. Apatahlagi segala persiapan menyambut Hari Raya juga turut musnah.
Ketahui juga rahsia pengarah tersohor, Mamat Khalid bagaimana cara kawan-kawannya mengejutkan Mamad bangun sahur dengan membakar mercun di tingkap biliknya. Yang melucukan adalah apabila Mamad dan kawan-kawannya tersalah tingkap apabila membakar mercun di tingkap ayah kawan mereka. Malah dia juga pernah termakan makanan untuk Imam ketika berbuka di surau kerana makanan untuk Imam dilihat sungguh menarik berbanding makanan untuk orang lain.
Saksikan juga gelagat pelawak terkenal Salih Yaacob yang teruja melihat susu getah dianggap seperti air susu ketika zaman kanak-kanaknya. Selain dari itu Salih teringat bagaimana cabaran berpuasa yang hebat apabila ibunya meminta dia menghantar kuih ke rumah jiran lalu jiran tersebut membalas dengan memberikan kuih kegemarannya. Akibat terlalu lapar dan setelah melihat budak lain sedang makan dengan enaknya membuatkan Salih tergoda. Salih menyorok di dalam semak, lalu memakan sebahagian besar kuih tersebut.
Begitu juga dengan Nabil yang pernah tangkap oleh neneknya kerana mencuri makan masa bulan puasa. Di surau pula bila orang sembahyang, Nabil akan ambil motor orang kampung lalu meronda serata kampung. Sebelum habis sembahyang dia akan balik ke surau untuk memulangkan motor dan lucunya pemilik motor terpaksa tolak motor kerana minyak habis digunakan oleh Nabil.
Pengarah dan pelakon Rosyam Noor pula teringat zaman kanak-kanak di mana dia terpaksa menjual ais batu disalut abuk kayu untuk mencari duit. Rosyam turut mengimbau kesusahan keluarganya yang tinggal di rumah setinggan. Dia juga bermain bunga api buatan sendiri dengan menggunakan penggosok periuk. Hari Raya ke-3, barulah Rosyam dapat membeli kasut baru. Itupun setelah dapat duit Raya yang diberi oleh jiran dan saudara mara.
Program menarik 26 episod ini turut berkongsi kisah menarik artis lain iaitu pelakon veteran Aziz Satar yang bermain ular-ular untuk menakutkan orang yang lalu lalang di malam hari, Kartina Aziz pula semasa kecil dahulu apabla mesti dipuji ketika dikejut untuk bangun sahur, Khatijah Tan menceritakan dirinya yang buas semasa kecil hinggakan baju rayanya juga mahu baju seperti dipakai budak lelaki.
Selain itu pelakon Fauziah Nawi berkongsi pengalaman bagaimana bila ayahnya mahu membeli kasut raya, ayahnya cuma ukur kaki dengan tali rapia kerana tidak mampu membawa semua anak-anaknya ke pekan. Pelakon sengangkatan dengannya pula, Jalil Hamid berkongsi pengalaman nakalnya sewaktu kanak-kanak kerana menganiaya seorang budak apabila mengorek hidung budak itu dan membatalkan puasanya. Begitu juga kisah Norlia Ghani mengimbau mengimbau kenangan mempunyai baju raya yang sama dengan semua adik beradik perempuan. Malah semua baju dibuat lebih besar supaya boleh dipakai untuk tahun akan datang.
Pastikan anda meluangkan masa menyaksikan nostalgia-nostalgia Ramadan artis-artis terkenal ini menerusi program Nostalgia Ramadan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 4.10 petang di TV1.