Selepas 13 tahun, pelakon dan pelawak Salih Yaacob akhirnya menamatkan kerjaya sebagai penyampai radio di stesen Sinar FM.
Salih menerusi satu video di Facebook Sinar FM berkata, hari ini merupakan hari terakhir dia berkhidmat sebagai antara penyampai di radio berkenaan.
“Saya nak mengucapkan terima kasih kepada semua pendengar-pendengar Sinar FM. Selama 13 tahun dan hari ini adalah hari terakhir yang mana saya akan menamatkan perjalanan saya di Sinar.
“Kalau ditanya kenapa saya berhenti, tempoh 13 tahun itu adalah jangka masa yang panjang dan mungkin ke arah baru dan memberi peluang kepada orang-orang baharu pula,”
– Salih Yaacob
Pelakon berkenaan menyertai Sinar FM pada tahun 2006, dengan menjadi penyampai untuk rancangan Sinar Pagi bersama Raja Azura dan Khairil Rashid sehingga 2015.
Kemudiannya Salih berpindah ke segmen Santai Sinar bersama Feeya Iskandar @ CikPiah pada 2016 dan seterusnya bergandingan pula dengan Adi Fashla. – KopiPlanet.com