Kalau sebelum ini nama Ryzall Noh mungkin belum cukup popular dalam kalangan peminat muzik tempatan, kini segalanya mungkin bakal berubah. Nama yang satu ini sedang mula meniti di bibir pencinta muzik tempatan terutamanya selepas kemunculan single penuh makna bertajuk Darwish. Mungkin ramai belum mengenali wajah dan suara penyanyi yang berasal dari Singapura ini, tapi percayalah, sebaik sahaja anda mendengar lagunya, anda pasti terpikat. Bukan sekadar suaranya merdu, tapi emosi dan mesej lagu-lagu ciptaannya benar-benar menyentuh jiwa.
Ryzall Noh Bukan Calang-Calang: Vokalis, Pencipta Lagu, Dan Penerbit Muzik
Sebelum bergerak solo, Ryzall merupakan vokalis utama kumpulan Audionauts, sebuah band berbakat besar dari Singapura yang pernah menggegar industri muzik dari tahun 2010 hingga 2017. Dalam tempoh itu, mereka berjaya memenangi pelbagai anugerah berprestij termasuk Kumpulan/Duo Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2013, Lagu Tertinggi Royalti di Anugerah COMPASS Singapura, serta Artis Paling Popular Singapura di Anugerah Planet Muzik 2015. Hebat, kan?
Kini apabila bergerak secara solo, Ryzall membuktikan dia bukan sekadar penyanyi biasa. Beliau juga merupakan seorang komposer dan penerbit muzik yang serba boleh, malah karya-karyanya telah menembusi pasaran bukan sahaja di Malaysia dan Singapura, bahkan hingga ke Amerika Latin dan Sepanyol. Ini jelas membuktikan bahawa muzik Ryzall punyai sentuhan antarabangsa yang mampu bersaing di peringkat dunia.
Kolaborasi Bersama Nama-Nama Besar Muzik Serantau
Antara keistimewaan Ryzall adalah keupayaannya berkolaborasi dengan ramai nama besar dalam industri muzik. Antara artis yang pernah bekerjasama dengannya termasuk Ronnie Hussin, Allahyarham Tony Spider, Rahila Rashun, Altimet, Moliano Lovehunters, Maman Teacher’s Pet, Addy Cradle dan Dato’ Ramli Sarip. Bayangkan betapa tingginya kredibiliti dan keyakinan yang diberi kepada beliau oleh para legenda ini.
Selain itu, Ryzall juga dikenali sebagai pelakon, penulis lirik dan komposer prolifik yang sangat dicari oleh ramai penerbit dan artis di rantau ini. Tak hairanlah beliau turut aktif dalam projek-projek kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk badan-badan kerajaan.
Aktif Di Media Sosial, Dekat Dengan Peminat
Satu lagi sisi menarik tentang Ryzall ialah bagaimana beliau sentiasa aktif berkongsi perkembangan terbaharu menerusi Instagram, TikTok dan YouTube. Beliau bijak menggunakan platform ini untuk berinteraksi dan kekal relevan bersama peminat. Antara projek yang sering dikongsi ialah perkembangan lagu-lagu ciptaannya seperti “Darwish”, “Tak Seindah Kata” dan “Sebuah Cinta”.
Darwish: Sebuah Karya Yang Sarat Dengan Makna Mendalam Tentang Cinta, Kerinduan Dan Ketuhanan
Single terbaharu beliau berjudul “Darwish” kini semakin mendapat tempat di hati peminat, bukan sahaja di radio-radio tempatan di Malaysia dan Singapura, malah turut dimainkan di stesen radio di Amerika Latin dan Sepanyol. Bukan calang-calang pencapaian, ini membuktikan bahawa lagu ini benar-benar menyentuh perasaan sejagat, merentas sempadan budaya dan bahasa.
Dalam temu bual bersama Ryzall, beliau menjelaskan maksud sebenar di sebalik lagu ini:
“Darwish ini sememangnya terkenal dalam cerita-cerita sufisme. Kesimpulannya ia cerita tentang sufi, iaitu perjalanan mencari Tuhan,”
– Ryzall
Menurut beliau lagi, Darwish membawa tema pengorbanan dan cinta yang tidak terbalas, namun ia juga sarat dengan pengharapan, pujian dan semangat untuk terus mencintai tanpa syarat.
“Saya beruntung dan bersyukur bekerja dengan orang-orang hebat dalam penghasilan lagu ini di mana liriknya ditulis oleh Hairul Anuar Harun, yang cukup popular dengan lirik-lirik lagu hebat seperti Cindai, Hati Kama, Yayadan, Samrah Mentari, Tinting, Sesuci Lebaran dan Nirmala,” tambah Ryzall.
Sebagai komposer, Ryzall mengakui bahawa Darwish bukan sekadar lagu biasa, tetapi sebuah karya seni yang penuh emosi dan spiritualiti.
Barisan Tenaga Kreatif Lagu Darwish
Bagi yang ingin tahu siapa di sebalik pembikinan lagu Darwish, berikut adalah pasukan hebat yang terlibat:
- Penyanyi: Ryzall Noh
- Komposer: Ryzall Noh & Yazri Malik
- Penulis Lirik: Hairul Anuar Harun (HAH)
- Gitar Akustik & Elektrik: Addy Cradle
- Bass: Wendy D’bagindas
- Keyboard: Bajai
- Drum: Fairuz Samil
- Perkusi: Didi Muliadi
- Suara Latar: Amelia Azizan & Addy Cradle
- Susunan Muzik: Felipe Milk, Addy Cradle & Amelia Azizan
- Studio Rakaman: Studio 47 (Singapura), Studio Starlight (Indonesia), Studio Sci-fi (Malaysia)
Dengan kolaborasi hebat dan gandingan kreatif daripada barisan pemuzik berbakat ini, tak hairanlah lagu Darwishmampu menawan pendengar dari pelbagai negara dan latar belakang.
Boleh Didengari Di Spotify Dan Apple Music
Bagi peminat yang ingin menikmati lagu-lagu Ryzall, anda boleh terus ke platform penstriman digital seperti Spotify dan Apple Music. Di situ, anda akan temui bukan sahaja Darwish, tetapi juga lagu-lagu lain yang tidak kurang hebatnya. Budiey jamin, setiap lagu punya keunikan tersendiri dan pastinya memberi pengalaman mendengar yang lebih mendalam dan menyentuh perasaan.
Apa Kata Budiey?
Budiey rasa, kehadiran Ryzall Noh dalam industri muzik Malaysia dan serantau patut diberi perhatian lebih serius. Walaupun namanya mungkin masih baharu dalam radar peminat tempatan, tetapi bakatnya jauh lebih besar daripada yang disangkakan. Dengan kemampuan menyanyi, menulis lagu, menjadi penerbit, dan bekerjasama dengan nama-nama besar, Ryzall jelas punya visi dan hala tuju yang matang dalam kerjaya seninya.
Lagu Darwish pula hadir tepat pada masanya – di saat dunia dan manusia sedang mencari makna kehidupan dan cinta sejati. Dengan lirik yang penuh spiritual, susunan muzik yang epik dan vokal yang mendalam, lagu ini bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi sebuah puisi ketuhanan dalam bentuk muzik.
Jadi, untuk peminat muzik yang rindukan karya-karya yang ada jiwa dan makna mendalam, Budiey sangat sarankan untuk dengar Darwish dan kenali siapa sebenarnya Ryzall Noh – permata seni dari Kota Singa yang sedang bersinar di langit muzik nusantara.