Ini menunjukkan komitmen RTM dalam menyediakan perkhidmatan yang inklusif kepada masyarakat. Tahun 2021, sekali lagi menyaksikan tiada pergerakan jemaah haji dari Malaysia ke Tanah Suci, ekoran perkembangan situasi semasa Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Namun, mengambil kira ibrah musim Haji dan mengisi kerinduan para jemaah dan umat Islam di Malaysia terhadap Kota Suci, RTM menerusi ‘Salam Baitullah 2021’, program terbaik musim haji terus bersiaran untuk musim ke-13.
Sambutan hangat penonton pada setiap tahun sehingga mencecah 2.2 juta tontonan pada musim lepas. Salam Baitullah tahun ini menampilkan dua pengacara terkenal iaitu Al Fadhil Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Al Fadhil Ustaz Fakhrul Radhi Khamaruddin (Kumpulan UNIC) melalui penajaan daripada Olive House.
Setelah dua tahun Arab Saudi tidak membenarkan kemasukan jemaah Haji seluruh dunia akibat pandemik Covid-19, Salam Baitullah tahun ini bertemakan, Suatu Kerinduan sebagai mengimbau kenangan mengerjakan ibadah haji kepada umat Islam di rantau Asia Tenggara. Di samping itu, Salam Baitullah tahun ini akan membawakan juga berita-berita bagaimana ibadah haji secara norma baharu dilakukan.
Salam Baitullah akan disiarkan secara langsung 16 episod mulai 6 Julai hingga 20 Julai 2021, pukul 9.00 – 10.00 malam di TV1 dan Saluran Berita RTM (myFreeview 123) serta menerusi saluran media sosial seperti Facebook dan Youtube. Penonton juga dapat melayari siaran langsung melalui Aplikasi RTM KLIK.
Siaran ulangan boleh diikuti setiap hari, mulai 7 Julai hingga 21 Julai 2021, di TV1 pada pukul 6.00 petang hingga 7.00 malam manakala di Saluran Berita RTM pada pukul 4.00 hingga 5.00 petang.
Sementara itu kemuncaknya menerusi siaran Langsung Salam Baitullah Edisi Khas (Wukuf) pula disiarkan pada 19 Julai 2021, pukul 6.00 petang hingga 7.00 malam dan pukul 9.00 hingga 11.00 malam.
Pada tahun ini, program Salam Baitullah membariskan panel-panel pendakwah terkemuka negara yang akan memperincikan pengajaran haji berdasarkan situasi semasa. Antaranya ialah YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama), S.S Datuk Dr.Luqman Abdullah (Mufti Wilayah Persekutuan), S.S Dato’ Haji Anhar Bin Haji Opir (Timbalan Mufti Selangor), Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengurus Besar Kanan bagi Operasi Haji Tabung Haji, Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar, Dato’ Dr. Izhar Ariff, Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa, Prof. Madya Dr. Sukki Othman, Al Fadhil Ustaz Roslan Mohamed, Ustazah Hajah Isfadiah Mohd. Dasuki, Dato’ Ustaz Badlishah Alaudin, Ustaz Prof Madya Dr. Mohd. Farid Ravi Abdullah, Dato; Md. Daud Che Ngah, Ustaz Zul Ramli M. Razali, Al Fadhil Ustaz Wadi Anuar, Dato’ Ustaz Kazim Elias dan Datuk Dr. Haji Zahazan Mohamed.
Salam Baitullah musim ini turut menampilkan kelainan di mana terdapat Segmen Interaktif Selebriti yang dikendalikan oleh Ustaz Fakrul Radhi (UNIC) berkonsepkan bual santai bersama artis, tokoh sukan, selebriti media sosial yang dikenali mengenai pengalaman menunaikan umrah dan haji di Tanah Suci.
Di antara tetamu yang bakal hadir ialah jaguh lumba basikal negara, Azizul Hasni Awang, Prof Dato Dr Muhaya Mohamad, Dato Chef Ismail, Faizal Tahir, Wany Hasrita, Lah Ahmad, Asyraf Muslim, Azmi Caliph Buskers dan Ustaz Aidil Azwal Zainuddin (pengasas Olive House).
Seperti musim musim sebelum ini terdapat 3 kuiz yang ditawarkan setiap musim (Kuiz Harian & Kuiz Terkumpul di TV dan Kuiz Harian di Medsos) hadiah bernilai RM300 berupa produk keluaran Olive House untuk Kuiz Harian TV & Medsos. RM15,000 berupa wang tunai secara keseluruhan harus dimenangi dengan penyertaan Kuiz Terkumpul. Penonton boleh menyertai soalan kuiz melalui aplikasi Facebook dan Instagram “Salam Baitullah”.