Kemunculan kumpulan muzik indie di Malaysia semakin mendapat tempat di persada industri seni tanahair. Satu demi satu nama band indie muncul mencuri tumpuan dalam memeriahkan lagi persada hiburan. Radio Televiyen Malaysia (RTM) tidak ketinggalan untuk sama sama bekerjasama dengan band band indie tempatan dalam program terbaharu di TV1, Xpresi Kembara.
Trio tiga remaja yang menggelarkan diri mereka Bunkface antara band indie tempatan yang terlibat untuk program Xpresi kembara di Melaka baru baru ini. Gelagat percutian mereka di Melaka yang dirakamkan ini dapat ditonton di TV1 pada pukul 2.30 petang hari ini. Program yang berbentuk travelogue ini akan membawa band band indie tempatan di tempat tempat menarik di seluruh negara.
Xpresi kembara bersama kumpulan Bunkface di Melaka dimulakan di Taman Buaya Melaka di mana kita dapat menyaksikan Trio kumpulan Bunkface yang dianggotai tiga anak muda Shamsul Annuar Mohd Baharom (Sam)-vokalis, Ahmad Farhan Hasyim (Paan) -gitaris dan Mohd Farouk Jaafar (Youk) –basist mendukung anak buaya yang terdapat di Taman Buaya Melaka. Selain itu juga, kumpulan Bunkface melawat produk pelancongan yang terbaru di negeri Melaka iaitu Menara Taming Sari dan Eye On Malaysia Melaka.
Tidak sah kalau bercuti di Melaka kalau tidak singgah di Restoran Ikan Bakar, Xpresi Kembara bersama kumpulan Bunkface ini juga singgah di Perkampungan Ikan Bakar Terapung Umbai, iaitu salah satu lokasi makanan laut yang popular di Melaka. Peluang menyusuri Sungai Melaka sambil mengimbau kembali sejarah lama dan menikmati pemandangan bangunan bersejarah tidak dilepaskan.
“Pengalaman bercuti di Melaka bersama Xpresi Kembara adalah sesuatu yang amat seronok dan terbaik.. dekat Melaka sahaja banyak tempat tempat yang menarik boleh kita kunjungi. Sebenarnya kalau kita bercuti dalam negara pun sudah memadai… semua ada di sini.” jelas Sam.
Xpresi Kembara yang disiarkan setiap hari Khamis di TV1 jam 2.30 petang menampilkan band band indie tempatan seperti Otherside Of Orchestra, Awanband, Bittersweet,Bunkface bercuti di tempat menarik dalam negara.
“Kita menggabungkan elemen muzik band band indie ini dengan tempat tempat menarik di seluruh negara. Diharap program seperti ini dapat memajukan sektor pelancongan dalam negara di samping memberi ruang kepada peminat peminat muzik indie mengenali artis kegemaran mereka dengan lebih dekat lagi. Kita juga memasukkan elemen penglibatan band band indie ini dengan persekitaran, sebagai contoh kumpulan Bunkface mendukung anak buaya di Taman Buaya Melaka dan bermain dengan anak harimau A’ Famosa Safari World, Ekspresi itu yang kita tonjolkan kepada penonton.” jelas penerbit Xpresi Kembara, Mohd Zam Ali.
Pada ketika ini, produksi Xpresi Kembara sedang mengadakan penggambaran di Pulau Pangkor, Bukit Merah Laketown Resort dan sekitar Ipoh bersama pemilik lagu Dan Sebenarnya, Yuna. Jangan lupa saksikan Xpresi Kembara setiap Khamis jam 2.30 petang di TV1 bersama band band kesayangan anda.