in , ,

Sakinah Pasang Ayat Al-Quran Semasa di Set Filem Jemputan Ke Neraka

Pelakon Sharifah Sakinah mengakui dia memasang alunan ayat al-Quran sepanjang menjalani penggambaran filem terbaharunya, Jemputan Ke Neraka yang dilakukan di sebuah banglo lama di Pulau Carey, Selangor.

Menurut Sakinah atau nama sebenarnya, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 34, sebelum penggambaran lagi dia telah mendengar pelbagai kisah seram mengenali banglo lama tersebut.

“Tempat penggambaran kami adalah di sebuah banglo lama di tepi pantai. Jika melihat pemandangannya memang sangat cantik. Tetapi sebelum penggambaran lagi sudah banyak cerita seram yang saya dengar tentang banglo itu.

“Alhamdulillah, sepanjang penggambaran tidak ada sebarang gangguan, tidak ada kru yang dirasuk semuanya berjalan lancar. Kecuali disebabkan lokasinya di tepi pantai, satu hari tiba-tiba sahaja angin sangat kuat seperti ribut melanda set penggambaran.

“Kami semua berlari dan masuk ke dalam kereta dan terpaksa menunggu sehingga cuaca kembali okey. Kalau tidak rasanya mahu saya terbang dibawa angin sekali,” kongsi Sakinah.

Tambah Sakinah sudah menjadi kelaziman untuknya memasang ayat-ayat al-Quran di setiap set penggambaran bukan kerana ingin mengelak gangguan sahaja tetapi untuk berasa tenang.

“Bukan di set filem Jemputan Ke Neraka sahaja saya alunkan ayat al-Quran tetapi di set penggambaran lain juga. Orang kita bila saya cakap pasang ayat al-Quran mesti mereka ingat nak halau hantu sahaja, walhal banyak kebaikan yang kita dapat daripada memasang muzik,”ujar Sakinah.

Sambung Sakinah, sebagai pelakon yang bekerja di pelbagai lokasi penggambaran dia sentiasa mengamalkan sikap menghormati orang sekeliling dan juga lokasi tempatnya bekerja.

“Kita sudah tahu itu bukan tempat kita dan dalam al-Quran juga sudah menyebut memang ada benda-benda ghaib ini, jadi kena percaya tetapi kita pula janganlah berlebih-lebihan takut.

“Janganlah gatal kacau ‘mereka’, bersikap angkuh dan terlampau seronok ketika berada di tempat yang kita sendiri tahu adalah tempat ‘mereka’,” tutur Sakinah.

Dalam filem Jemputan Ke Neraka, Sakinah memegang watak sebagai Rania di samping barisan pelakon popular lain seperti Janna Nick, Hafreez Adam, Hariz Hamdan, Amy Nurtinie, Nick Syaf, Jasper Supayah, Wafariena Roslan, Alif Hadi, Aleza Shadan dan Azhar Amir.

Filem yang bergenre seram thriller itu mengisahkan sekumpulan rakan bertemu di sebuah majlis perkahwinan misteri di sebuah banglo. Naskhah ini merupakan filem sulung pengarah Amor Rizan dan terbitan Anne Ngasri menerusi produksi AN Universal Sdn. Bhd. akan menemui penonton di pawagam pada 22 Jun ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

ASICS

Meriah! Sekitar Pembukaan Konsep Store ASICS di IOI City Mall Putrajaya

“Minum Susu Pun Salah, Lainlah Kalau Minum Arak!” – Baby Shima