Istimewa di musim perayaan Tahun Baru Cina ini, Astro First bakal membawakan filem-filem menarik khas untuk tontonan anda seisi keluarga. Sarat dengan elemen komedi dan menghiburkan, aksi mendebarkan, seram, konflik, drama, pengembaraan dan percintaan, sambutan permulaan tahun baru dalam kalendar Lunar ini masih boleh diraikan dalam suasana penuh meriah, di sebalik amalan norma baharu yang diamalkan seluruh rakyat Malaysia pada ketika ini.
Filem-filem yang bakal menanti penonton di Astro First Saluran 480 dan di platform On Demand ini merentasi setiap bahasa; Melayu, Mandarin dan Tamil. Kemeriahan musim perayaan anda dimulakan dengan sekuel ‘Hantu Bonceng’ yang pernah merekodkan kutipan pecah panggung ketika pertama kali disiarkan lebih kurang sedekad yang lalu. Kini kembali dengan ‘Hantu Bonceng 2.0’, filem yang diungguli pelakon popular tanah air, Zizan Razak ini akan menemui peminat mulai 11 Februari.
Pada hari yang sama juga, kami akan membawakan anda sebuah filem Tamil yang cukup mendebarkan berjudul, ‘Master’. Diikuti pula dengan ‘Maara’, arahan Dhilip Kumar dan sebuah filem Melayu arahan Jefry Talib, ‘Kenderaan Berat Ikut Kiri’ pada 18 Februari.
Meriahkan lagi sambutan perayaan anda dengan ‘Selamat Hari Tak Jadi’ yang menampilkan gandingan barisan pelakon hebat tanah air seperti Janna Nick, Aaron Aziz, Nasha Aziz dan ramai lagi pada 25 Februari. Istimewa buat adik-adik yang merindukan karakter animasi kesayangan ramai, jangan lupa temujanji anda bersama Didi, Nana, Jojo dan rakan-rakan menerusi ‘Konsert Hora Horey Wayang Didi & Friends’.
Tambah menarik, Didi dan rakan-rakan akan membuat persembahan dengan ditemani selebriti terkemuka negara seperti Yuna, Hael Husaini dan Altimet! Juga, saksikan sebuah filem Mandarin bergenre aksi yang bakal ditayangkan pada 27 Februari ini berjudul, ‘The Rescue’.
Dibintangi oleh Eddie Peng, Wang Yanlin, Xin Zhilei dan Lan Yingying, filem yang berkisar mengenai China Rescue & Salvage (CRS) ini diarahkan oleh Dante Lam, seorang pengarah popular Hong Kong yang terkenal dengan filem-filem suspen dan penuh mendebarkan.
Hantu Bonceng 2.0
Amran dan Kunyit begitu gembira kerana akhirnya mereka dapat bercuti ke Frasers Hill bersama rakan-rakan ‘Mat Motor’ mereka. Semasa dalam perjalanan, motor Kunyit mengalami kerosakan. Kemunculan Ayu telah membawa Kunyit dan teman wanitanya, Maya serta Amran bermalam di sebuah hotel lama, manakala rakan-rakan yang lain meneruskan ke destinasi mereka. Keadaan hotel tersebut agak misteri. Menjelang malam, Amran dan Kunyit mengalami pelbagai peristiwa menyeramkan. Keesokannya, mereka berdua berganding bahu dengan Ayu untuk menyelesaikan misteri ini yang mana akhirnya menemukan mereka kepada beberapa siri pembunuhan dan penemuan yang memeranjat dan mengerikan.
Barisan pelakon: Zizan Razak (Amran), Shiha Zikir (Ayu), Taiyuddin Bakar (Kunyit), Joey Daud (Mr. Rutty).
Pengarah: Datuk Yusry Abd Halim
Tarikh Tayangan: 11 Februari 2021 di Astro First saluran 480 dan On Demand
Master
John Durairaj adalah profesor kolej yang sering mabuk dan berseronok dengan para pelajarnya. Namun keseronokan itu terhenti tatkala John dan tabiat minumnya dipersalahkan kerana konflik antara para pelajarnya. Dia dipecat dan bekerja sebagai warden hostel di rumah anak yatim. Dia mendapati mereka ketagih dadah. Lantas dia mencari si penjahat itu. Mampukah anak-anak yatim itu diselamatkan?
Barisan Pelakon: Vijay, Vijay Sethupathi, Malavika Mohanan. Pengarah: Lokesh Kanagaraj
Tarikh Tayangan: 11 Februari 2021 di Astro First saluran 480 dan On Demand
Maara
Versi baru filem Malayalam yang diraikan, Charlie. Paaru, seorang wanita muda melarikan diri dari rumah untuk mengelak perkahwinan yang diatur. Semasa kecil, dia terdengar sebuah kisah dongengnan indah dari seorang yang tak dikenali. Bertahun kemudian, dia lihat kisah yang sama dilukis di dinding kota terletak di sisir pantai yang menyebabkan dia mencari pelukis yang dikenali sebagai Maara.
Barisan Pelakon: Madhavan, Shraddha Srinath, Shivada Nair. Pengarah: Dhilip Kumar
Tarikh Tayangan: 18 Februari 2021 di Astro First saluran 480 dan On Demand
Kenderaan Berat Ikut Kiri
Pertemuan antara Adam dan Lisa membawa mereka ke alam percintaan. Namun, konflik timbul apabila Adam mendapat tahu bapa Lisa, Uncle Don adalah kepala sindiket pemerdagangan manusia.
Barisan Pelakon: Shafie Naswip (Adam), Sweet Qismina (Lisa). Pengarah: Jefry Talib
Tarikh Tayangan: 18 Februari 2021 di Astro First saluran 480 dan On Demand
Selamat Hari Tak Jadi
Sekumpulan pelajar kolej yang diketuai oleh Hani dan rakan-rakannya Aiden, Parpu, Boboi dan Didi yang terkenal dengan perangai nakal mereka dengan menghasilkan rakaman video ‘prank’ rakan-rakan lain di kolej. Segalanya berubah apabila Puteri yang menjadi mangsa ‘prank’ Hani dan rakan-rakan, hampir membunuh diri akibat berasa malu. Hani yang tiada langsung perasaan bersalah dan menganggap perbuatannya itu semata-mata ‘trending’, mula diganggu oleh pembunuh misteri selepas kejadian ‘prank’ Puteri.
Barisan Pelakon: Janna Nick, Issey Fazlisham, Zalif Sidek, Nasz Sally, Zanial Zaini, Aaron Aziz, Nasha Aziz, Eyka Farhana.
Pengarah: Dato’ Professor Dr. A. Razak Hj. Mohaideen
Tarikh Tayangan: 25 Februari 2021 di Astro First saluran 480 dan On Demand
Konsert Hora Horey Wayang Didi & Friends
‘Konsert Hora Horey’ kembali lagi ke Pekan Hora Horey dan semua peminat besar dan kecil berkumpul dalam acara tahunan untuk berhibur di konsert terbesar tahun ini! Saksikan Didi & Friends menyampaikan lagu-lagu hits mereka bersama artis-artis terkenal tanahair dan antarabangsa, Hael Husaini, Altimet dan Yuna menyanyikan lagu hits viral dan lagu baru! Namun… bersembunyi di belakang pentas, Team Nakal yang terdiri daripada Boon, Roon dan Mummy sedang merancang untuk mengambil pentas untuk diri mereka sendiri!
Pengarah: Khairul Ammar Jamal Mohd Arif Kassim
Pengarah Eksekutif: Sinan Ismail
Tarikh Tayangan: 25 Februari 2021 di Astro First saluran 480 dan On Demand
The Rescue
Filem ketiga dalam siri filem Dante Lam yang memberi penghormatan kepada kakitangan awam Cina, selepas “Operation Mekong” yang memfokuskan anggota polis dan “Operation Red Sea” yang memfokuskan tentera laut. Filem ini berkisar mengenai China Rescue & Salvage (CRS). Apabila kemalangan di sebuah pelantar minyak menyebabkan ia terbalik dan tenggelam, kapten kepada Unit Respons Kecemasan, Gao Qian, bekerjasama dengan juruterbang helikopter Zhao Cheng untuk menyelamatkan mangsa-mangsa. Unit itu bergegas melawan masa untuk menyelamatkan semua mangsa di tengah- tengah kebakaran dan letupan yang berbahaya.
Barisan Pelakon: Eddie Peng, Wang Yanlin, Xin Zhilei, Lan Yingying.
Pengarah: Dante Lam
Tarikh Tayangan: 27 Februari 2021 di Astro First saluran 480 dan On Demand
Petikan Kenyataan Rasmi Wakil Astro, Sharmin Parmeswaran (Ketua Saluran Astro First & Astro Best)
“Di sebalik dunia mengharungi krisis pandemik COVID-19 pada hari ini, Astro sebagai sebuah stesen penyiaran utama negara tetap berusaha mempelbagaikan inisiatif bagi memastikan semangat setiap rakyat Malaysia kekal utuh dan tidak luntur dengan dugaan yang perlu dilalui ini. Kami ingin memastikan rakyat kekal selamat dengan berada di rumah seterusnya membantu memutuskan rantaian COVID-19. Justeru, kami perlu menzahirkan sajian kandungan yang menarik, merentasi setiap lapisan masyarakat demi memastikan anda terus kekal di rumah dan menontonnya bersama seisi keluarga”.
Tambah Sharmin lagi, “Musim perayaan merupakan salah satu masa yang ditunggu-tunggu kami. Di musim ini, sajian kandungan yang disediakan adalah lebih banyak, segar dan terhebat. Sama dengan sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang akan datang ini. Astro First sebagai sebuah saluran premium turut tidak terkecuali dalam menyediakan filem-filem menarik yang tidak pernah ditayangkan di mana-mana platform sebelum ini. Ini juga merupakan salah satu cara kami membantu pemain industri kreatif khususnya penerbit rumah-rumah produksi tempatan untuk terus berkarya dan menjana pendapatan masing-masing”.
“Raikan musim perayaan anda dan cuti yang akan datang ini dengan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Kami telah setia berada bersama anda selama 25 tahun dan kami akan terus kekal bersama anda, menghiburkan dan menyajikan kandungan-kandungan menarik, berinformasi dan terkini. Semoga perayaan anda bersama keluarga membawa seribu erti!”
Filem-filem istimewa bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina ini akan mula menemui pelanggan mulai 11 Februari 2021 di Astro First Saluran 480. Dengan hanya RM 15.00 (setiap judul filem), penonton boleh menonton filem yang dipilih secara berulang kali dalam tempoh 48 jam (2 hari) dari waktu pembelian. Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ia juga boleh ditonton menerusi platform digital, On Demand.