in

Saingan Sengit Dalam Anugerah Industri Muzik 20

Lima calon terbaik bagi setiap kategori anugerah untuk edisi ke-20 acara anugerah paling berprestij di negara ini, ‘Anugerah Industri Muzik’ (AIM) yang dianjurkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) telah pun diumumkan dalam satu sidang media yang diadakan minggu lalu di Hotel Istana.

Menerusi keputusan yang diaudit oleh juruaudit terkemuka, KPMG dalam saingan sengit 18 kategori yang dipertandingkan, sejumlah 85 calon-calon yang disenarai pendek dari 17 kategori telah diumumkan.

Group Photo-AIM 20 Final 5

Menurut En. Rosmin Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM 20.

“Penyertaan dari pengamal industri muzik sangat menggalakkan kerana kita telah menerima sejumlah 594 pencalonan pada tahun ini, peningkatan sebanyak 20% berbanding sejumlah 465 pencalonan yang diterima untuk tahun lalu. Kesemua pencalonan-pencalonan yang diterima telah diadili oleh panel juri terpilih yang hanya terdiri dari pengamal-pengamal industri muzik yang berwibawa, mahir dan disegani dalam bidang masing-masing.”

Beliau juga mengesahkan penglibatan Macomm Management Services Sdn. Bhd., firma profesional sama yang telah mengendali proses penghakiman untuk AIM tahun lalu sebagai pengendali proses penghakiman untuk AIM tahun ini.

Kategori ‘Rakaman Album Terbaik’ merupakan kategori anugerah pertama yang diadili pada 29hb. Ogos yang lalu diikuti penjurian untuk sebahagian besar kategori-kategori anugerah yang lain pada 5hb. September di Hotel Istana, hotel rasmi AIM 20. Kategori-kategori anugerah ‘Lagu Terbaik’, ‘Album Terbaik’ dan ‘Video Muzik Terbaik’ merupakan tiga kategori anugerah terakhir yang telah diadili di hotel yang sama pada 1hb. Oktober.

Senarai akhir 5 calon teratas menyaksikan Hafiz Suip, Hazama dan Amir Jahari mendahului calon-calon lain menerusi 4 pencalonan masing-masing dalam pelbagai kategori yang disertai. Sementara itu, kategori anugerah yang menjadi tumpuan ramai, ‘Persembahan Vokal Terbaik di dalam Lagu (Lelaki dan Wanita)’ melihat kemasukan pendatang baru, Ronnie dari kumpulan Hyper Act dan Najwa Mahiaddin bersaing di kalangan nama-nama besar industri muzik seperti Faizal Tahir, Hafiz Suip, Dato’ Siti Nurhaliza dan Jaclyn Victor dalam kedua-dua kategori tersebut.

Dengan penambahan kategori baru, ‘Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik di dalam Lagu’, senarai calon akhir menyaksikan paduan suara penyanyi-penyanyi ternama tanahir di dalam lagu-lagu popular semasa termasuk “Sedetik Lebih” gandingan Anuar Zain & Dayang Nurfaizah, “In Love With You” dendangan Noh Salleh & Aizat Amdan dan “Lari’ yang dibawa Sleeq & Hazama.

RIM juga telah mendedahkan senarai penuh juri-juri terkemuka yang terlibat dalam proses penjurian yang terdiri daripada tokoh-tokoh berwibawa industri muzik tanahair termasuk Adnan Abu Hassan, Ajai, Aubrey Suwito dan Dato’ Ramli Sarip. Pengarah Muzik tersohor tanahair, Dato’ Ramli MS bertindak sebagai Ketua Juri untuk tahun ini.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Encik Raqim Ahmad:

“Pihak Astro amat berbesar hati di atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak penganjur untuk meneruskan lagi usahasama dalam penganjuran AIM yang ke 20. Untuk tahun ini, pihak Astro menerusi rangkaiannya iaitu saluran Astro Ria, Maya HD dan juga ERA FM akan hadir menghulurkan sokongan selaku penyiar dan radio rasmi untuk AIM 20.”

AIM 20 bakal berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada hari Sabtu, 14 Disember 2013 bermula dengan siaran secara langsung acara ‘Karpet Glamor AIM 20’ pada pukul 8:30 malam disusuli siaran langsung majlis penyampaian anugerah AIM 20 pada pukul 9:00 malam secara eksklusif di Astro RIA (Saluran 104) serta siaran serentak di Maya HD (Saluran 135).

Klik untuk ketahui Senarai Top 5 Finalis Anugerah Industri Muzik 20

Untuk maklumat lanjut mengenai RIM, sila layari www.rim.org.my

Senarai Kategori Anugerah:

  • 1. Artisbaruterbaik/Bestnewartiste
  • 2. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) / Best Vocal Performance In A Song (Male)
  • 3. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) / Best Vocal Performance In A Song (Female)
  • 4. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan) / Best Vocal Performance In A Song (Group)
  • 5. Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu / Best Duo/Collaboration Vocal Performance In A Song
  • 6. Kulitalbumterbaik/Bestalbumcover
  • 7. Rakamanalbumterbaik/Bestengineeredalbum
  • 8. Videomuzikterbaik/Bestmusicvideo
  • 9. Lagu Pop Etnik Terbaik / Best Ethnic Pop Song
  • 10. Lagu Nasyid Terbaik / Best Nasyid Song
  • 11.Lagu Rock Terbaik / Best Rock Song
  • 12.Lagu Pop Terbaik / Best Pop Song
  • 13.Lagu Hip Hop Terbaik / Best Hip Hop Song
  • 14.Lagu Inggeris Tempatan Terbaik / Best Local English Song
  • 15.Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara / Best Malay Song Performed By A Foreign Artiste
  • 16.Anugerah Kembara / Kembara Award
  • 17.Anugerah Sri Wirama / Sri Wirama Award
  • 18.Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu / Best Musical Arrangement In A Song 19.Lagu Terbaik / Song Of The Year
  • 20.Album Terbaik / Album Of The Year

Rosmin-AIM 20 Chairman

Rosmin-AIM 20 Chairman & Mr. Lam-Partner KPMG

Dato Ramli MS-AIM 20 Chief Judge, Rosmin-AIM 20 Organising Committee Chairman, Raqim-Astro - Copy

Dato Ramli MS-AIM 20 Chief Judge, Rosmin-AIM 20 Chairman, Raqim-Astro

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Majlis Akad Nikah Diana Amir & Habibbullah

Zizan Razak Kini Miliki Restoran Burgerbyte