Mengikut sumber Sinar Harian, pelawak Sallih Yaccob sah sudah berkahwin untuk kali ke-4 dengan seorang gadis yang bergelar N. Apa ilmu yang pelakon dan penyampai Sinar FM ni pakai? Tapi apa yang penting, mereka bahagia dan rukun damai dalam rumahtangga yang sentosa.
Pernikahan keempat ketentuan Allah
“Dalam hidup saya ada tiga perkara ajaib yang pernah berlaku dan perkara ini (pernikahan keempat) mungkin merupakan salah satu daripadanya,” demikian ayat pertama yang diungkap Salih Yaccob kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam.
Perkara ajaib lain yang dimaksudkan oleh Salih ialah pulih dengan sendirinya daripada penyakit misteri yang menyerang pada 2000 diikuti rezekinya untuk mengerjakan umrah tanpa mengeluarkan sesen wang pun apabila dibiayai seorang hamba Allah yang mendapat mimpi.
“Apa pun saya pohon semua pihak tidak menggembar-gemburkan perkara ini dan melihatnya dari sudut positif. Sesungguhnya saya tidak pernah mencari isteri keempat dan dia pun tidak memilih saya kerana material memandangkan dia sudah memiliki segala-galanya. Justeru, saya melihat jodoh antara kami merupakan ketentuan yang didatangkan oleh Allah semata-mata,” ujar Salih. Namun tegasnya kemudian selagi tiada akad antara mereka, dia tidak berharap apa-apa dan hanya menunggu perkembangan selanjutnya daripada ‘pihak sana’.
Menceritakan perihal sebenar bagaimana anak ahli perniagaan berjaya itu mengenalinya, Salih menyatakan minat gadis yang hanya mahu diperkenalkannya sebagai ‘N’ terhadapnya sudah bermula sejak 10 tahun lalu. Bagaimanapun, N hanya serius mahu menjadi isteri Salih setelah menyaksikannya muncul di kaca TV dalam satu rancangan bual bicara.
Seterusnya takdir juga seolah-olah turut menyebelahi mereka apabila ‘N’ mengalami kemalangan jalan raya sehingga koma selama tiga hari dan hanya memberi respons setelah mendengar celoteh Salih di Sinar FM.
Menurut Salih, dia sudah mengingatkan bakal isteri keempatnya itu bahawa dia merupakan suami kepada Norlizah Mamat, 46; Norraha Hamat, 40 serta Norfara Wahida Sulaiman, 31 namun ‘N’ menyatakan dia maklum akan perkara berkenaan.
“Dia kata sanggup dan mahu bersama saya demi untuk mendapat bimbingan. Apabila isteri-isteri dan anak-anak pun tidak membantah malah tidak sabar menanti perkara ini menjadi kenyataan, saya berani katakan pernikahan ini ketentuan Allah,” akhiri Salih.
Menerusi tiga perkahwinan yang kekal harmoni hingga sekarang, Salih merupakan bapa kepada sepuluh anak berusia antara 24 hingga enam tahun tidak termasuk cahaya mata baru yang bakal ditimangnya empat bulan dari sekarang. [sumber]