Itulah kata-kata penamat hubungan suami isteri antara Rizal Ashram Ramli dengan pelakon jelita, Nora Danish di hadapan Hakim Syarie Ahmad Irwan Ismail semalam.
Talak yang dijatuhkan itu juga menamatkan spekulasi masalah rumah tangga pelakon tersebut yang sedang hamil tiga bulan.
Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd. Danish Hanif, 26, berkata demikian semasa perbicaraan permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah oleh Rizal, 38, pada tarikh tersebut di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.
Rizal yang memfailkan permohonan itu tiga minggu lalu dan Nora selaku defendan hadir memberi keterangan tanpa diwakili peguam.
Terdahulu, plaintif (Rizal) memberitahu dia melafazkan cerai tersebut tiga hari sebelum ulang tahun kedua perkahwinan mereka menerusi satu panggilan telefon yang dibuat kepada Nora atas alasan mereka tidak bersefahaman lagi.
Rizal yang kelihatan tenang mendakwa, lafaz itu dibuat pada pukul 3.30 petang ketika dia berada di pejabatnya di Sri Hartamas manakala Nora pula berada di rumah mereka di Jalan Rithcie, Ampang namun menafikan berlaku sebarang pergaduhan antara mereka sebelum itu.
“Lafaz cerai tersebut berbunyi, ‘I ceraikan you’ dan Nora tanya berapa talak, saya cakap sekali lagi, “I ceraikan you talak dua”, yang membawa maksud talak kali kedua,” kata ahli perniagaan itu ketika disoal di mahkamah.
Ditanya mengapa talak kali kedua, jelas Rizal, dia pernah melafazkan cerai terhadap Nora dengan lafaz: “I ceraikan you” pada Februari tahun ini setelah mereka bergaduh namun ia tidak didaftarkan kerana mereka rujuk kembali selang beberapa minggu kemudian atas nasihat seorang ustaz.
Berbalik kepada lafaz kali kedua, Rizal berkata, dia menelefon Nora pada waktu itu dengan niat untuk menceraikannya dan hasrat tersebut turut disuarakan kepada pelakon drama Puteri itu sehari sebelumnya dengan alasan dia telah tawar hati namun Nora hanya mendiamkan diri.
Setelah melafazkan cerai tersebut, dia mendakwa tidak pernah berjumpa dengan Nora sehinggalah di mahkamah semalam dan mereka hanya berhubung melalui telefon serta khidmat pesanan ringkas (SMS).
Sementara itu, Nora dalam keterangan balasnya pula menjelaskan, lafaz cerai kali pertama berlaku ketika dia di rumahnya manakala suaminya pula berada di rumah ibu bapanya di Ampang juga menerusi panggilan telefon.
—
Toh Muda Rizal Ashram Ramli, 38, ketika memberi keterangan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, berkata dia melafazkan cerai kali pertama terhadap pelakon sitkom drama Puteri itu pada Februari dan keduanya, Jun lalu.
Menurutnya, sehari sebelum lafaz cerai kedua dibuat, dia ada berbincang dan memberitahu Nora dia sudah tawar hati dengannya.
“Saya ada beritahu dia (Nora)…saya sudah tawar hati tetapi dia hanya mendiamkan diri hingga keesokan hari. Saya menelefon Nora dan melafazkan ‘I cerai you’.
“Ketika itu, Nora ada bertanya ‘talak berapa?’ dan saya cakap talak dua,” katanya ketika menjawab soalan Hakim Syarie Ahmad Irwan Ismail.
Mengenai sebutan ‘talak dua’ dilafazkan terhadap Nora, anak bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib itu menjelaskan ia merujuk kepada talak kali kedua.
“Lafaz saya ketika itu bermaksud talak kali kedua Yang Arif dan bukannya talak dua. Ini berikutan saya pernah menceraikan Nora pada Februari lalu,” katanya.
Sementara itu, Nora yang hadir berbaju kurung putih berbunga turut memberi keterangan berhubung permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan suaminya.
Dia yang kelihatan tenang sepanjang prosiding memberitahu lafaz cerai daripada suaminya Jun lalu dibuat ketika dirinya sedang hamil.
AHMAD IRWAN: Adakah kamu setuju bahawa plaintif pernah melafazkan cerai?
NORA: Setuju. Tetapi saya tidak ingat bila kali pertama lafaz cerai dibuat.
AHMAD IRWAN: Kamu masih ingat bagaimana lafaz cerai pertama?
NORA: Seperti biasa, plaintif cakap ‘I ceraikan you’. Tapi kali pertama dia cakap ‘I ceraikan you talak satu’.
AHMAD IRWAN: Kamu tahu di mana suami kamu ketika dia melafazkan talak pertama?
NORA: Saya tidak pasti…mungkin dia di rumah keluarganya.
AHMAD IRWAN: Kamu ada rujuk selepas itu?
NORA: Ya. Plaintif ada melafazkan rujuk terhadap saya.
AHMAD IRWAN: Setuju bahawa plaintif ada melafazkan cerai pada 17 Jun lalu?
NORA: Setuju Yang Arif. Plaintif ada menyebut ‘I cerai you’ sebelum saya bertanya ‘talak berapa?’ dan dijawab dengan ‘talak dua’.
AHMAD IRWAN: Apa yang berlaku antara kamu?
NORA: Saya pasti Yang Arif, kami sudah tidak sefahaman lagi dan selalu bertingkah pendapat. Bagi saya, ini adalah jalan terbaik untuk kami berdua.
AHMAD IRWAN: Adakah benar dakwaan plaintif kamu berdua tidak pernah bertemu lagi (sejak 17 Jun) sehingga pagi ini (semalam)?
NORA: Benar.
AHMAD IRWAN: Adakah kamu dalam keadaan suci pada 17 Jun lalu?
NORA: Benar dan saya kini mengandung tiga bulan Yang Arif.
Di luar mahkamah, Nora dan Rizal Ashram, masing-masing enggan memberi sebarang komen berhubung kes terbabit.