Dunia hiburan tanah air semakin rancak apabila SAH Entertainment mengumumkan kerjasama eksklusif bersama Universal Music Malaysia bagi menganjurkan tiga konsert mega yang bakal menampilkan artis terkemuka Malaysia, iaitu Ernie Zakri, DOLLA, dan Insomniacks.
Kolaborasi ini bukan sahaja satu pencapaian besar bagi industri muzik tempatan, malah menjadi batu loncatan buat artis-artis ini untuk menembusi pasaran serantau, khususnya di Singapura.
Menurut Sufi Rashid, penganjur utama bagi konsert ini, inisiatif tersebut adalah satu langkah strategik bagi memberikan lebih banyak ruang dan peluang kepada artis berbakat untuk menampilkan karya mereka kepada khalayak yang lebih luas.
“Kami di SAH Entertainment berasa teruja kerana dapat membawa nama-nama besar seperti Ernie Zakri, DOLLA, dan Insomniacks ke pentas lebih besar.
– Sufi Rashid
Kerjasama ini bukan sekadar menganjurkan konsert biasa, tetapi satu usaha untuk memperkukuhkan lagi kedudukan muzik Malaysia di peringkat antarabangsa. Dengan sokongan Universal Music Malaysia, kami yakin konsert ini bakal mencipta fenomena baru,”
Jadual Konsert SAH Entertainment 2025
- 31 Mei 2025 – Ernie Zakri Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)
- Ogos 2025 – DOLLA Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)
- 12 Julai 2025 – Insomniacks Live in Kuala Lumpur (Zepp Kuala Lumpur)
- November 2025 – Insomniacks Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)
Pemilihan venue eksklusif seperti Capitol Theatre di Singapura dan Zepp Kuala Lumpur jelas membuktikan kesungguhan SAH Entertainment dalam memastikan setiap konsert ini memberikan pengalaman muzik yang luar biasa. Dengan sokongan teknologi audio dan visual terkini, peminat dijamin akan menikmati suasana konsert yang lebih mantap dan mengasyikkan.
Kerjasama Strategik Untuk Memacu Industri Muzik Serantau
Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, turut menyuarakan keterujaannya dengan kolaborasi ini.
“Kerjasama ini merupakan satu langkah besar untuk membantu artis-artis di bawah Universal Music Malaysia, terutamanya Ernie Zakri, DOLLA, dan Insomniacks, dalam memperluaskan lagi pengaruh muzik mereka di rantau ini. SAH Entertainment telah membuktikan rekod cemerlang dalam penganjuran konsert, termasuk kejayaan konsert solo ‘sold-out’ Ernie Zakri di Kuala Lumpur baru-baru ini. Kami yakin gabungan kreativiti kedua-dua pihak akan mewujudkan platform yang luar biasa buat artis dan peminat,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa inisiatif ini bukan sekadar untuk hiburan semata-mata, tetapi turut memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan industri muzik serantau, terutamanya dalam kalangan peminat muzik generasi muda yang semakin aktif di media sosial dan platform digital.
Ernie Zakri: Fokus Pada Rehat & Penjualan Tiket
Selepas kejayaan besar konsert Aura: Ernie Zakri Live in Concert pada Januari lalu, Ernie kini dalam fasa berehat sebelum kembali mempersiapkan diri untuk konsert sulungnya di Singapura.
“Persiapan untuk konsert ini belum bermula sepenuhnya kerana saya baru sahaja selesai dengan Konsert Aura dan Anugerah Juara Lagu ke-39. Buat masa ini, fokus utama saya adalah untuk menjual tiket serta memberi masa kepada diri sendiri untuk berehat. Seperti yang diketahui, saya kurang sihat semasa konsert yang lalu, jadi doktor menasihatkan saya supaya berehat secukupnya,” jelasnya.
Namun begitu, Ernie tetap teruja dan tidak sabar untuk menghiburkan peminatnya di Singapura.
“Saya tahu peminat di Singapura sangat menyokong saya sejak dulu lagi. Jadi, dapat mengadakan konsert solo pertama di sana adalah satu impian yang akhirnya menjadi kenyataan,” tambahnya.
DOLLA: Konsert Solo Pertama di Singapura, Impian Jadi Kenyataan!
Bagi kumpulan DOLLA, peluang untuk mengadakan konsert solo pertama di Singapura adalah sesuatu yang cukup bermakna.
“Kami sangat bersyukur kerana akhirnya dapat membawa persembahan penuh kepada peminat di Singapura. Ini adalah impian kami sejak sekian lama dan kami tidak sabar untuk memberikan persembahan yang terbaik. Kami janji malam itu akan menjadi satu malam yang sukar dilupakan,” ujar Sabronzo mewakili kumpulannya.
Angel dan Tabby turut berkongsi keterujaan mereka dan mengajak semua peminat DOLLA untuk datang beramai-ramai ke Capitol Theatre pada 30 Ogos 2025.
Insomniacks: Momen Bersejarah Buat Kami!
Kumpulan Insomniacks pula menyifatkan tahun 2025 sebagai tahun bersejarah buat mereka kerana akhirnya mereka berpeluang mengadakan konsert solo besar di dua lokasi utama – Kuala Lumpur dan Singapura.
“Kami telah lama menantikan detik ini. Terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa menyokong muzik kami dari awal. Kami janji akan memberikan persembahan terbaik di Zepp KL pada 19 Julai dan seterusnya di Capitol Theatre Singapura pada 29 November. Kami harap anda semua akan datang dan bersama-sama menjadikan malam itu sebagai satu kenangan manis buat kita semua,” kata mereka penuh semangat.
Apa Kata Budiey?
Kerjasama antara SAH Entertainment dan Universal Music Malaysia ini jelas membuktikan bahawa industri muzik tempatan semakin berkembang pesat dan mampu menembusi pasaran luar negara. Penganjuran konsert berskala besar seperti ini bukan sahaja memberikan peluang kepada artis Malaysia untuk menyerlah di pentas yang lebih besar, malah memperkukuhkan kedudukan industri muzik tempatan di persada antarabangsa.
Peminat muzik Malaysia dan Singapura pasti tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan persembahan hebat daripada Ernie Zakri, DOLLA, dan Insomniacks. Dengan venue eksklusif, teknologi canggih, dan tenaga luar biasa daripada artis-artis ini, konsert-konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti-nantikan tahun ini.
Jadi, jangan ketinggalan! Pastikan anda mengikuti laman media sosial rasmi SAH Entertainment untuk mendapatkan maklumat terkini dan pembelian tiket sebelum kehabisan!