Bersama kumpulan RVL, Ryan pernah beraksi sebagai pembuka tirai dalam konsert-konsert artis antarabangsa seperti Simple Plan, Against The Current, Tiffany Alvord, Jason Chen, Megan Nicole, Clara C dan artis K-Pop, Alexander dari kumpulan “U-KISS”. Namun sejak bergerak solo pada tahun 2017, nama Ryan semakin dikenali peminat muzik.
Menerusi single debut ‘Salimah’, Ryan berjaya menempa nama apabila gandingannya bersama Allahyarham Sandra Dianne dalam lagu ‘Salimah’ mendapat sambutan hangat sehingga berjaya menjuarai carta radio dan tersenarai dalam cara platform digital seperti Joox.
Selepas kejayaan ‘Salimah’, Ryan juga pernah muncul dengan beberapa single seperti ‘Propa’ (2019) dan ‘Menari Dalam Gelap’ (2020). Bagi mengukuhkan lagi namanya sebagai penyanyi yang memberikan warna kepada industri muzik Malaysia, kini Ryan kembali dengan single keempatnya yang berjudul MONALISA.
Sekali lagi mengangkat nama wanita sebagai judul lagu, kali ini Ryan mengangkat nama wanita yang masyhur di dunia. MONALISA merupakan ciptaan Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat.
Lagu ini turut mendapat sentuhan komposer dan penerbit terkenal Omar K sebagai penerbit rakaman. Lagu berentak reggaeton yang diberikan susunan muzik indah ini turut disuntik dengan elemen muzik Timur Tengah.
Seakan mengambil inspirasi daripada karya agung lukisan Leonardo da Vinci, senyuman misteri wanita dalam potret Mona Lisa berjaya menawan sesiapa sahaja yang menatapnya.
Begitu juga dengan lagu ini, melodi lagu yang mesra telinga ini dihiasi dengan senikata bercerita tentang obsesi seorang lelaki terhadap seorang wanita misteri yang berjaya mencuri perhatiannya.
“Ini merupakan kolaborasi pertama Universal Music bersama Ryan. Selain daripada bakatnya, kami tertarik dengan aspirasi dan potensi yang Ryan miliki untuk membawa muzik Malaysia ke peringkat global.
Kami sudah menyediakan perancangan rapi untuk mengukuhkan lagi status Ryan sebagai pejuang muzik urban di Malaysia bermula dengan lagu Monalisa ini.
Kami menjangkakan lagu yang membawa konsep global ini bukan sahaja mampu menaikkan populariti Ryan, malah ianya juga mampu membuka lebih peluang untuk Ryan bertapak dalam arena muzik antarabangsa,”
– Anne Mukhtar
Mengulas tentang single terbaharunya, Ryan berkata,
“Setelah muncul dengan lagu berentak EDM dan ballad, kali ini saya kembali semula menghasilkan karya berentak reggaeton seperti awal kemunculan solo saya dahulu.
Saya berharap lagu ini bukan sahaja mendapat sambutan positif pendengar malah ianya akan menjadi siulan ramai dan membuatkan mereka ingin turut berdansa mengikut rentak lagu.”
– Ryan Deedat
Turut dilancarkan video muzik rasmi MONALISA sebagai pendamping visual lagu ini. Video muzik rasmi yang dimuatnaik di saluran YouTube Official Ryan Deedat sejak 18 September lalu, merupakan arahan Azamul Ashraff dan terbitan bersama Fave Productions Sdn Bhd dan Universal Music Malaysia .
Video muzik ini turut menampilkan bakat Ryan Deedat beraksi dan menari di samping Marrisa Bahri (Team Squad) dan kumpulan penari DP Fam yang masing-masing pernah terlibat dalam rancangan realiti Dansa Dan Sing anjuran Astro pada awal tahun ini.
MONALISA merupakan terbitan bersama Fave Productions Sdn Bhd dan Universal Music Malaysia. MONALISA kini boleh didapati di pelantar digital kegemaran seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music sejak 18 SEPTEMBER 2020 lalu. Manakala video muzik rasmi lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Official Ryan Deedat.