Dibintangi pelakon handalan Chris Tucker membawakan watak Detektif James Carter bergandingan dengan Jackie Chan sebagai Cif Inspektor Lee, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan tayangan filem Inggeris bertajuk “Rush Hour 3” menghiburkan penonton salurannya pada 3 September ini, pukul 10.00 malam menerusi saluran TV2.
Filem “Rush Hour 3” Gandingan Jackie Chan dan Chris Tucker Hiburkan Penonton TV2
Turut menampilkan pelakon Tzi Ma, Noémie Lenoir, Hiroyuki Sanada, Roman Polanski dan Max von Sydow, penonton pastinya teruja menyaksikan “Rush Hour 3” kesinambungan siri ketiga dalam siri filem aksi seni mempertahankan diri Rush Hour.
Kisahnya berkembang dengan watak Lee ditugaskan sebagai pelindung peribadi bagi Duta China untuk menghadiri perbincangan Mahkamah Jenayah Dunia. Semasa duta tersebut baru sahaja berucap, tiba-tiba dia diserang oleh seorang penembak curi, menyebabkan semua orang menjadi panik.
Lee kemudiannya nekad untuk mengejar penembak curi tersebut dan mendapati penembak tersebut adalah Kenji, “abang” kepada Lee (bukan abang kandung), menyebabkan Lee berasa tidak sanggup untuk menembaknya.
Sementara itu, Carter yang telah diturunkan pangkat kepada seorang polis trafik turut masuk campur dalam kes tersebut, menyebabkan mereka terlepas akan Kenji. Semuanya berlaku sekelip mata tanpa mereka sempat berbuat apa-apa.
Dalam pada itu, Duta China tersebut sedang dirawat di hospital dan anaknya, Soo Yung meminta mereka berjanji untuk menangkap dalang di sebalik peristiwa tersebut. Adegan kejar-mengejar telah membawa mereka ke kota Paris, di mana mereka bertembung dengan musuh utama serta dalang sebenar di belakang peristiwa tersebut iaitu Reynard.
Lalu apakah kesudahan filem arahan Brett Ratner sekitar tahun 2006 ini?
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.