SUKA DUKA INSAN BERNAMA JIMAN
Apakah nasib seorang insan cacat yang tidak mampu menjaga dirinya sendiri tanpa bantuan sesiapa? Begitulah yang difikirkan oleh Mak Midah (Fauziah Nawi) yang mempunyai seorang anak terencat akal bernama Jiman (Rusdi Ramli). Jiman merupakan seorang yang baik hati dan amatkecil menyayangi keluarganya tetapi apakan daya, ketika, Jiman jatuh sakit dan disahkan cacat akal seumur hidupnya.
Walaupun dia mempunyai seorang adik, Azhar (Iqram Dinzly), namun Azhar begitu membencinya kerana Mak Midah dan orang kampung begitu memanjakannya sejak kecil.
Menerusi slot Skrin Di 9, telefilem bertajuk Jiman ini akan menceritakan kisah hidup Jiman yang sentiasa dibuli oleh Azhar kerana perasaan tidak puas hati.
Apatah lagi, ibu dan arwah bapa mereka sentiasa mendahulukan Jiman. Bagi Azhar, dia patut menerima lebih kerana dia sihat dan tidak mempunyai masalah mental seperti Jiman. Kenapa Jiman sahaja yang mendapat kasih sayang yang lebih? Kenapa apabila arwah bapanya meninggal dunia, harta tanah diberikan lebih kepada Jiman? Semua persoalan ini membuatkan benci terhadap Jiman semakin membuak-buak.
Apabila meningkat dewasa, Azhar mula jatuh cinta dengan Intan (Rafidah Ibrahim) yang sentiasa mengambil berat tentang Mak Midah sekeluarga.
Walaupun masih lagi belajar di universiti, dia tidak akan melepaskan peluang untuk menjenguk mereka setiap kali cuti semester. Dalam diam, Intan juga menyimpan perasaan terhadap Azhar dan sentiasa menasihatinya untuk berubah dan menjaga Jiman dengan baik. Nasihat dan niat murni Intan tetap tidak diambil kira oleh Azhar dan dia tetap mempunyai perasaan benci dan menyampah terhadap Jiman.
Mak Midah kesal dengan sikap Azhar dan berusaha menyedarkan Azhar tentang tanggungjawab Azhar untuk menjaga Jiman apabila dia dijemput Illahi nanti. Azhar tetap teguh dengan pendiriannya untuk menghantar Jiman ke pusat kebajikan apabila hari itu tiba. Sedih dan sebak hati seorang ibu mengenangkan nasib dan kehidupan kedua-dua anaknya yang tidak boleh hidup bersama-sama tanpa bergaduh.
Saksikan kesudahan hidup Jiman menerusi Skrin Di 9 pada 16 Mac (Rabu) ini jam 8.30 malam, hanya di TV9. Telefilem menyayat hati terbitan SRS Production ini diarah oleh Emi Suffian manakala penerbit eksekutifnya adalah Rozie Othman.
Selamat menonton!