Pagi ni masa memandu nak pergi kerja, terdetik dalam hati nak dengar balik temubual antara DJ Nazz dengan Tam Spider.
Sebabnya, aku nak tau balik kisah di mana Tam dipilih menjadi penyanyi utama kumpulan Spider.
Korang tau tak yang Tam ni bukanlah penyanyi asal kumpulan Spider? Taktau? Ha, meh aku ceritakan.
Tahun bila bermula aku taktaulah sebab Tam cerita dalam temubual tu dia tak sebut tarikh. Cuma Tam kata, dia kenal dengan line up asal Spider iaitu Nafie, Tony, Aie dan Zul masa diorang kat Johor dulu. Zul tu lah kalau ikutkan penyanyi asal Spider. Tapi masa tu nama Spider belum ada tau.
Satu hari tu, diorang berlima ada buat perbincangan, bukan untuk buat band, tapi untuk hasilkan sebuah lagu dan nak hantar ke sebuah syarikat rakaman diperdengarkan kepada diorang lah.
Jadi, Tam pun masuklah sekali dengan Nafie, Tony, Aie dan Zul, berbincang pasal lagu yang nak dibuat dan main sekali itu lagu tu. Masa tu Tam cumalah seorang gitaris.
Bila lagu dah siap, diorang pun hantar ke syarikat rakaman tu melalui pos. Zaman tu takde hantar lagu pakai emel ataupun whatsapp.
Bila lagu tu dah didengari oleh syarikat rakaman tu, syarikat tu pun ajaklah lima lima orang ni datang KL untuk buat persembahan. Jadi, berangkatlah lima budak muda ni ke KL untuk buat persembahan.
Masa di KL, bila dah selesai buat persembahan, salah seorang kawan daripada 5 orang ni ajak pergi jumpa M.Nasir. Kawan sorang ni macam ada hubunganlah dengan M.Nasir sebab pernah buat projek sama sama.
Jadi, 5 budak muda dari Johor ni pun bergeraklah pergi ke studio M.Nasir dan kebetulan pula, memang M.Nasir ada kat sana. Bila M.Nasir ada kat sana, M.Nasir pun tanyalah, “Kau semua ni band ke?”
5 budak muda ni pun iyakanlah bila M.Nasir tanya gitu. “Kau semua main lagu apa?” Tanya M.Nasir lagi.
“Lagu sendiri bang,” jawab 5 budak muda ni.
“Lagu sendiri? Pasang. Bagi aku dengar,” kata M.Nasir.
5 budak muda ni pun apa lagi, kelam kabutlah pasang barang barang muzik yang diorang bawa sekali sebab M.Nasir nak dengar diorang main.
Tapi M.Nasir masa tu tak duduk dalam studio. Dia keluar. Dia kata, kalau dia ada dalam tu, mesti budak budak tu tak boleh main. Yelah, macam mana nak main elok elok, sifu kot tengok.
So, 5 budak muda ni mainlah lagu diorang dan direkod secara profesional ke dalam kaset.
Selepas semua lagu dah dimainkan dan direkodkan, dalam kaset tu ada baki lagi yang boleh direkodkan. Jadi, Tam minta nak nyanyi 1 lagu dan direkod dalam kaset. Tam pun nyanyilah lagu Bon Jovi, I’ll Be There For You.
Bila semua urusan rekod dah selesai, M.Nasir pun datang balik studio dan dengarlah kaset yang dah direkod dengan lagu lagu 5 budak muda.
Entah macam mana, kaset tu dimainkan sampai habis dan M.Nasir pun terdengarlah suara Tam nyanyi lagu I’ll Be There For You.
“Siapa nyanyi ni?” Tanya M.Nasir.
“Saya bang,” jawab Tam.
Terus M.Nasir pun panggil kawan dia dan berbincang kejap. Kemudian, kawan M.Nasir tu keluar dan bagitau kat 5 budak muda tu, “Band ni kalau nak pergi jauh, Tam kena nyanyi.”
Tam bila dengar macam tu, terus dia diserang rasa serba salah. Mana taknya, band tu dah ada vokalis kot, Zul.
Jadi, dalam temubual ni Tam kata berlakulah perbincangan yang agak tegang dalam menentukan line up yang akan membawa diorang ke peringkat lebih tinggi sebagai sebuah band.
Tam sedar yang dia cuma orang baru dalam band tu, jadi dia kata dia nak undurkan diri supaya tak berlaku konflik dalam kumpulan ni.
Namun, selepas berapa lama berbincang dan memikirkan peluang emas yang jarang hadir, apatah lagi berada di bawah seliaan sifu M.Nasir, Zul pun cakap kat Tam supaya jangan keluar dan jadilah vokalis untuk band ni.
Maka, bermulalah dari situ, Tam menjadi vokalis band yang pada awalnya tak ada nama tapi sekarang dah dikenali sebagai Spider.
Daripada kisah ni, bagi aku, pengajaran yang boleh kita ambik ialah, kadang nak berjaya, nak pergi jauh tu, kita tak boleh kekal bersama dengan orang yang sama. Kena berpisah juga dan barulah langkah tu tak terikat untuk bergerak lebih jauh.
Apa apa pun, kredit juga untuk Zul sebab dia sanggup serahkan posisi dia kepada Tam dan alhamdulillah, Spider memang tak salah pilih orang sebagai vokalis utama diorang.