Beberapa hari sebelum menyambut Ramadan, kumpulan Zero yang memenangi pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014, diuji dengan berita cukup menyedihkan apabila rumah keluarga mereka di Kudat, Sabah dijilat api dipercayai akibat litar pintas.
Kebakaran yang terjadi di Kampung Bahagia sekitar tengah hari semalam turut mengorbankan 69 buah rumah lagi.
Ternyata insiden itu cukup memberi kesan kepada tiga anggota Zero iaitu Mohd Syaiful Doli Sharif (Syaiful), 27, Sharif Kadir (Sharif), 25, dan Sharid Kunal (Atu), 23. Apatah lagi hampir separuh wang kemenangan mereka di MLM digunakan untuk membaik pulih rumah keluarga di kampung halaman itu.
Atu yang dihubungi menjelaskan ketika kejadian, mereka berada di ibu kota dan bergegas pulang ke kampung menaiki kapal terbang. Mereka tiba di Sabah pagi tadi. “Kami anggap ini dugaan sebelum Ramadan. Kami reda dan pastinya ada hikmah di sebalik apa yang terjadi.
Yang penting ibu dan empat lagi adik beradik kami terselamat daripada malapetaka ini. Penduduk kampung semua yang menjadi mangsa kebakaran ditempatkan di dewan serbaguna kampung itu buat sementara waktu.
“Kami juga akan tinggal di kampung ini untuk tempoh tertentu. Asalnya mahu pulang ke kampung untuk menyambut Ramadan tetapi kejadian ini mengubah perancangan asal. ”
Kami juga sudah maklumkan kepada pihak yang sudah mendapatkan kami lebih awal untuk komitmen Ramadan nanti dan atas budi bicara mereka membenarkan kami memberi tumpuan kepada apa yang terjadi di kampung dahulu,” katanya. Mengikut Atu lagi, ketika kebakaran, ibunya (Musahpun Andis) sedang memasak untuk membuat persediaan kenduri tahlil arwah ayah.
“Memang keluarga saya tak dapat menyelamatkan banyak barang kerana api marak dengan pantas. Mereka hanya sekadar menyelamatkan dokumen penting sahaja,” katanya.
Atu berkata, jika ada pihak yang bermurah hati mahu membantu mengurangkan beban penduduk kampung itu, boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), nombor akaun 12125-41-00006963-6 atas nama Persatuan Komuniti Bajau Simunul Kudat.
Peminat di Semenanjung Malaysia yang ingin memberi bantuan barangan pula boleh menghubungi Shafeeqa di talian 017-721 0491.
Sumber Berita Harian