in

Rumah Pusaka P. Ramlee Disita

Rumah pusaka P Ramlee disita

DBKL beri amaran jika waris gagal melunaskan cukai taksiran RM10,000

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi tempoh seminggu kepada waris Allahyarham Tan Sri P Ramlee supaya membayar tunggakan cukai taksiran berjumlah RM10,000 bagi mengelak rumah pusaka Seniman Agung itu di Taman Setapak di sini, disita.

Arahan itu berdasarkan notis yang ditampal kakitangan DBKL di hadapan rumah berkenaan, Rabu lalu.

Rumah yang dibeli Allahyarham pada lewat 60-an dan pernah menjadi lokasi penggambaran filem arahannya, Gerimis (1968), kini didiami menantunya, Suria Bakar, 43, bersama dua cucunya.

Suria, isteri anak Allahyarham, Nasir Ramlee yang meninggal dunia empat tahun lalu, terkejut apabila menerima notis berkenaan Rabu lalu yang dilekatkan di hadapan rumahnya.

“Saya terkejut dan tidak pernah berniat untuk melarikan diri daripada membayar tunggakan cukai taksiran berkenaan. Sebenarnya saya tidak mampu hendak bayar. Selepas kematian suami, saya bersama dua anak lelaki yang masing-masing masih belajar di institusi pengajian tinggi hidup dalam kesempitan memandangkan kami tidak bekerja,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Beliau mengakui hujung tahun lalu, anaknya pernah ke DBKL untuk menyelesaikan masalah ini dan diberikan kelonggaran membayar ansuran RM200 sebulan.

Bagaimanapun, katanya mereka tiga beranak yang kini hidup dengan hasil bantuan Baitulmal RM400 sebulan, tidak mampu untuk membayar ansuran bulanan yang ditetapkan DBKL itu.

SURIA berharap pihak DBKL dapat mengurangkan jumlah bayaran ansuran bulanan rumah yang didiaminya bersama dua cucunya.

“Saya amat tertekan dengan situasi ini, bukan niat untuk meraih simpati sesiapa, tetapi kami amat sedih kerana akan kehilangan satu-satunya rumah pusaka tempat kami tiga beranak berteduh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap DBKL dapat mengurangkan jumlah bayaran ansuran bulanan itu daripada RM200 kepada lebih rendah. via Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem Ngorat

Drama Menarik Sepanjang April di TV2