in , ,

RUMAH NO. 107 Berjaya Tambat Hati Penonton, Kini Kembali Dengan Musim Yang Kedua

Khir Rahman, Joey, Ropie & Vicha Kekal Sarung Jersi Utama, Sambung Legasi Komedi Tanpa Batasan di Astro Warna

Selepas berjaya memenangi hati penonton dengan pengisian menarik dan penuh berinformasi sepanjang bersiaran di musim yang pertama Jun tahun lalu, program sketsa dan bual bicara komedi terbitan Astro Warna, ‘Rumah No. 107’ bakal kembali menemui peminat pada setiap hari Jumaat, mulai 4 Jun, jam 9.00 malam di Astro Warna saluran 107 HD dan 127 SD.  Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ‘Rumah No. 107’ juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan platform On Demand

‘Rumah No. 107’ sekali lagi mengekalkan pemain utamanya sebagai pengemudi, dengan diketuai oleh pelakon, penyanyi, pengacara, penulis skrip dan pengarah versatil tanah air, saudara Khir Rahman yang mana beliau turut ditemani barisan pelawak dan pelakon komedi popular negara, Joey Daud, Ropie dan anak seni kelahiran Indonesia, Vicha.

RUMAH NO. 107 Berjaya Tambat Hati Penonton, Kini Kembali Dengan Musim Yang Kedua

Masing-masing yang pertama kalinya ditampilkan pada musim lalu, kekal memegang watak asal dengan Khir Rahman sebagai ‘Tok K’, seorang datuk berumur dalam lingkungan 50-an yang mempunyai penyakit mudah lupa namun tetap meminati dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini industri seni tanah air. Beliau ditemani Joey sebagai ‘Joey’, cucu kepada Tok K yang agak nakal, memiliki mulut yang agak ‘laser’dan gemar menyakat anak-anak gadis, Ropie, juga memegang watak sebagai ‘Ropie’, jiran dan turut merupakan rakan karib kepada Tok K, yang kini telah mengahwini Bibik Cha (lakonan Vicha). 

Bibik Cha adalah pembantu rumah kepada Tok K yang turut menggemari gosip terkini dan diumpamakan sebagai ‘Mami Jarum’ dalam keluarga Tok K. Menariknya lagi untuk musim ini, ‘Rumah No. 107’ akan menampilkan seorang lagi ahli keluarga baharu Tok K. Pengacara dan pelakon komedi, Shuk yang akan melakonkan watak ‘Shuk’, merupakan anak saudara Tok K yang kini menetap bersama kerana mendapat peluang pekerjaan di kampung Tok K. 

RUMAH NO. 107

‘Rumah No. 107’ yang bakal bersiaran sebanyak lapan (8) episod ini dengan berdurasi 90 minit setiap episod akan menyaksikan penglibatan ramai nama-nama tersohor tanah air sebagai selebriti jemputan. Di antaranya termasuklah Linda Onn, Halim Othman, Zamani, Ameng SPRING, Dato’ Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi, Zul Huzaimy, Abby Abadi, Didie Alias, Zizi Kirana dan Kumpulan ELITE (Watie, Azza, Linda Raafar), Catriona Ross, Zarina Zainuddin, Saiful Apek, Dato’ Chef Wan, Syanie, Nabilla Razali, Datin Marlia Musa, Angeline Tan, Dato’ Aznil Hj. Nawawi, Awal Ashaari dan ramai lagi nama-nama yang disegani ramai. 

“Dalam pada negara kini dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Astro sebagai salah satu sektor perkhidmatan penting negara atau ‘essential’ terus berusaha menyajikan program-program terbaik untuk pelanggan kami di luar sana. Kami peka dengan keadaan kebanyakan dari kita yang perlu akur dengan arahan pihak Kerajaan untuk terus kekal selamat dengan berada di rumah demi mengekang seterusnya memutuskan rantaian COVID-19 yang dilihat semakin membimbangkan saban hari. 

Justeru, kami di Astro, khususnya di Astro Warna sentiasa menyusun pelbagai program penuh variasi bagi memenuhi kehendak pelanggan yang sentiasa menginginkan sajian kandungan yang segar, menghiburkan namun pada masa yang sama mempunyai titipan pengajaran yang boleh dijadikan iktibar buat semua. Keputusan kami mengembalikan semula ‘Rumah No. 107’ ini setelah melihat kepada sambutan yang diberikan peminat pada musim yang lalu. Pengisiannya yang dilihat kreatif dan ‘luar dari kotak’ apabila mengangkat kisah-kisah inspirasi dan juga pengalaman barisan selebriti sebelum menempa nama dalam industri ternyata berjaya menambat hati peminat. 

Walaupun berlatarbelakangkan sketsa komedi, topik-topik perbincangan yang diketengahkan ‘Rumah No. 107’ terutamanya dalam segmen ‘Pillow Talk’ telah berjaya membuka hati selebriti jemputan untuk berkongsi kisah dan pengalaman hidup masing-masing yang tidak pernah diceritakan di mana-mana platform sebelum ini, sehingga ada ketikanya membuatkan mereka (selebriti jemputan) dan keluarga Tok K menitiskan air mata. 

Kami di barisan penerbitan berasa berbesar hati dan amat berterima kasih kerana diberikan kepercayaan oleh barisan selebriti jemputan ini untuk berkongsi secara eksklusif pengalaman masing-masing di platform ‘Rumah No. 107’. Segmen ini terus dikekalkan di musim ini, dan mudah-mudahan kisah-kisah menarik dari tetamu jemputan di musim ini juga akan dapat membuka mata dan memberi pengajaran buat kita semua, lagi-lagi di musim PKP ini, yang mana ramai di antara kita memerlukan kisah-kisah berbentuk inspirasi untuk dijadikan sebahagian dari panduan hidup kita. Besar harapan saya agar program ‘Rumah No. 107’ ini sedikit sebanyak memberi iktibar buat kita semua, di sebalik gelak tawa yang kami sajikan ini kelak.”

Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh
RUMAH NO. 107

‘Rumah No. 107’ menampilkan tiga (3) segmen utama sebagai sajian utamanya. “Sembang Secawan Kopi” yang diandaikan sebagai segmen pembuka atau ‘pemanas’ program menyaksikan tetamu jemputan berbual santai bersama Tok K selaku Tuan Rumah mengenai perkembangan terkini industri seni tanah air. Segmen kedua pula, “Dapur Panas Berapi” memperlihatkan Bibik Cha menjemput tetamu jemputan ke dapur untuk turut sama memasak dan beraksi dengan skil masing-masing dalam menyediakan masakan kegemaran mereka. Untuk musim ini, Bibik Cha juga akan mengutarakan soalan-soalan yang lebih ‘panas’ dan sensasi kepada tetamu jemputannya.

Diikuti pula dengan “Pillow Talk”, segmen yang dilihat agak berat sedikit berbanding dua segmen yang terdahulu di mana selebriti akan berkongsi kisah dan pengalaman hidup masing-masing dalam usaha menempa nama di persada seni tanah air. Di antara topik-topik yang diperdengarkan termasuklah pengalaman jatuh bangun dalam industri, kehilangan orang tersayang, ditinggalkan pasangan di kala meniti hari bahagia, dan banyak lagi. 

RUMAH NO. 107

Berlatarkan rumah agam Tok K sebagai set utama penggambaran yang dijalankan di Cinegear Studio, Sungai Buloh, sedikit kelainan turut diterapkan apabila produksi menampilkan kumpulan pemuzik jemputan sebagai salah satu elemen penting dalam menceriakan lagi ‘Rumah No. 107’. 

KRISTAL yang diketuai oleh Mohd Rodi Baharudin @ Rody yang juga merupakan gitaris utama kumpulan bersama ahlinya yang lain mengiringi perjalanan produksi sepanjang berlangsungnya musim yang kedua ini. 

Jangan lupa saksikan ‘Rumah No. 107’ pada setiap hari Jumaat, mulai 4 Jun, jam 9.00 malam di Astro Warna saluran 107 HD dan 127 SD.  Untuk pilihan yang lebih fleksibel, anda juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan platform On Demand.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Suhaimi Saad Letak Jawatan Sebagai Penyanyi Nasyid

Sinopsis Drama Bersiri Romantik Arahan Osman Ali MASIH ADA RINDU Lakonan Farid Kamil & Mimi Lana