Dalam satu perkongsian di akaun Facebook miliknya, Ruhil atau pemilik nama sebenar Ruhil Amani Hussin memaklumkan dia terpaksa menyorokkan berita berkenaan kerana sebagai ibu dia bertanggungjawab untuk melindungi anaknya iaitu Ariana yang ketika itu baru berusia 15 tahun dan Raayan, 8
“Assalamualaikum buat kawan semua. Di sini saya ingin memaklumkan dan mengesahkan yang saya dan juga bekas suami saya sudah bercerai pada tanggal Mei, 2019.
“Sebelum ini saya mengambil keputusan untuk tidak memaklumkan pada kawan semua kerana sebagai seorang ibu, tanggungjawab dan keutamaan saya adalah untuk melindungi anak saya Ariana yang akan menduduki peperiksaan penting IGCSE dan Raayan yang baru sahaja berusia lebih kurang 8 tahun,” katanya.
Ujar Ruhil, tumpuannya sekarang adalah untuk memastikan kedua-dua anaknya dapat menyesuaikan diri dengan situasi kehidupan yang baharu serta bagi mengelakkan sebarang salah faham yang boleh menimbulkan fitnah.
Jelasnya lagi, dia terbuka untuk memaklumkan perceraiannya setelah berbincang dengan anak-anak selain isu berkenaan sudah mendapat perhatian ramai.
Namun begitu, penyanyi berkenaan enggan mendedahkan punca dia dan suami bercerai serta reda dan menerima takdir serta percaturan hidup yang diaturkan ini dengan hati terbuka.
“Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan keluarga dan teman rapat, saya dan anak-anak dapat menyesuaikan diri, meneruskan kehidupan dan bahagia dengan fasa kehidupan kami yang baru.
“Saya juga sangat bersyukur kerana dianugerahkan oleh Allah SWT anak-anak yang baik, kuat dan matang dari usia mereka,” katanya.