Kini mereka berdua digandingkan dalam drama bersiri Bintang yang mengisahkan tentang cinta pertama antara dua remaja sekolah. Mereka terpaksa menempuh pelbagai halangan akibat ada yang mencemburui hubungan mereka. Berjayakah mereka menggapai bahagia dalam hubungan mereka?
Drama bersiri 20 episod ini merupakan terbitan syarikat produksi Country & Universal Sdn Bhd yang bersiaran bermula pada 6 April 2023, setiap hari Rabu hingga Sabtu, pukul 9.00 malam menerusi slot Lestary dan strim eksklusif HD di www.tonton.com.my
Drama ini diarahkan oleh Nizam Zakaria dan penghasilan skrip oleh Haida Mazni Mohammad. Bintang menampilkan barisan pelakon yang hebat dan popular seperti Daniel Fong, Ruhainies, Siti Hariesa, Keith Foo, Haidar Hasanudin, Natasha Elyzza, Ain Evon, Nadia Kesuma, Azri Iskandar, Faa Zaini, Azhar Sulaiman dan Badrul Muhayat.
Iris (Ruhainies) merupakan anak kepada Pak Mahmud (Azri Iskandar) yang merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya di kampung. Pak Mahmud seorang yang amat tegas dan menitikberatkan tentang pendidikan Iris dan status keluarga mereka sehingga menyebabkan Iris jarang bergaul dengan orang kampung. Sebaliknya, Iris ikhlas untuk berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira status.
Thirak (Daniel Fong) bersekolah di sekolah menengah yang sama dengan Iris. Thirak duduk di kampung bersama ibunya, Duangphen (Ain Evon) yang ingin melihat Thirak sambung pengajiannya ke universiti. Thirak yang berketurunan Thailand, mempunyai ciri-ciri Melayu yang kuat kerana sifatnya yang sangat peramah dan pandai bergaul.
Pertemuan mereka secara beransur-ansur membibitkan perasaan cinta antara satu sama lain. Namun Mustafa (Keith Foo) juga mengejar cinta Iris. Perasaan hasad dengki timbul apabila Mustafa gagal meraih cinta Iris. Mustafa memasang niat buruk dengan memaklumkan ibu bapa Iris tentang hubungannya dengan Thirak.
Berikutan kejadian itu, Iris dihantar belajar ke luar negara dan hubungannya dengan Thirak terputus bertahun-tahun. Beberapa tahun kemudian, Iris pulang ke kampung semula apabila telah menamatkan pengajiannya di luar negara. Apakah kesudahan yang bakal berlaku pada hubungan mereka? Masih adakah sinar kedua bagi Iris dan Thirak setelah bertahun-tahun terputus hubungan?
Jangan terlepas untuk saksikan Bintang di slot Lestary, setiap hari Rabu hingga Sabtu pada pukul 9.00 malam dan strim eksklusif HD melalui www.tonton.com.my. Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.