Buat masa ini, ia ditawarkan dalam bentuk siaran percubaan antara pukul 7 pagi sehingga 12 tengah malam. Bagi anda yang menggunakan MyFreeView, siaran pada saluran 113, dan menawarkan siaran pada resolusi HD.
Saluran RTM TV6 ini menyiarkan kandungan berbentuk filem, drama dan hiburan rencam buat masa ini, dan lebih memfokuskan kepada kandungan retro tempatan.
RTM dijangka memperkenalkan saluran baru ini sempena dengan ulang-tahun ke-75 yang akan disambut pada 1 April hadapan. Buat masa ini, RTM mempunyai beberapa saluran dibawah mereka, termasuk TV1, TV2, TV Okey, RTM Sports dan juga Berita RTM
RTM ada Saluran Baharu TV6
MERIAH… Menjelang sebulan sebelum sambutan ulang tahun ke-75 Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1 April depan, satu saluran yang baharu mula diwujudkan pada pada 1 Mac lalu.
Bagaimanapun, siaran saluran televisyen keenam yang dikenali sebagai TV6 itu baru dalam peringkat percubaan dengan waktu ke udara cuma dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam.
Stesen berkenaan buat masa ini hanya bersiaran melalui platform percuma MyFreeview di saluran 113 dalam format visual penuh definisi tinggi (HD) dan resolusi kualiti gambar 1080i.
Perkara itu turut disahkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah ketika ditanya media, namun beliau enggan pula mengulas secara lebih terperinci lagi.
“Ya, ini akan diumum pihak RTM,” katanya ringkas selepas Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini kelmarin.
Pada masa ini RTM di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia mengendalikan TV1, TV2, TV Okey, RTM Sports dan Berita RTM yang kesemuanya itu dalam HD dan beroperasi 24 jam sehari.
Pertambahan itu turut menjadikan lebih 6.2 juta pengguna Myfreeview di seluruh negara kini mampu menikmati 18 saluran televisyen selain 14 saluran radio tempatan pelbagai bahasa.
Ini termasuk tujuh saluran swasta rangkaian Media Prima Berhad iaitu TV3, NTV7, 8TV, TV9, Drama Sangat serta Wow Shop Melayu dan Cina di samping empat saluran radio miliknya.
Tidak ketinggalan dapat diikuti penonton MyFreeview yang kelazimannya dari golongan B40 ialah stesen TV AlHijrah, TV Bernama, Go Shop, Awesome TV dan terbaharu TV Sarawak.
Buat permulaan, kandungan TV6 semasa tempoh percubaan ini akan banyak menyiarkan program retro tempatan antaranya filem, drama dan hiburan rencam dalam bahasa Melayu.
Namun begitu, warganet khasnya pengguna MyFreeview menyambut baik saluran berkenaan sekali gus merancakkan dunia penyiaran tanah air bersaing menawarkan program bermutu.
Langkah RTM menambah saluran baharu itu juga diharap dapat membantu penggiat industri kreatif tempatan untuk aktif berkarya dan menghasilkan rancangan menarik untuk penonton.
“Biar ada kelainan supaya penonton banyak pilihan dan tidak membosankan, harap ada Anak Sidek, Usop Sontorian dan sebagainya,” kata warganet yang bernama Mashrul Zahrin Masbi.
“Ini mungkin baru sahaja permulaan tapi rancangan klasik di TV6 nampak terbaiklah setakat ini,” kata seorang pengguna media sosial tempatan lain pula dengan namanya Razak Melan.
MyFreeview merupakan sebahagian daripada Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional yang dilancar secara rasmi oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2017.
Inisiatif kerajaan itu bagi membantu meringankan beban isirumah berpendapatan B40 yang tidak mampu melanggan caj bulanan siaran televisyen berbayar satelit atau kabel tempatan.
*Sumber: BebasNews