Radio Televisyen Malaysia (RTM) meriahkan sambutan tahun baru 2017 dengan menyajikan filem-filem dan rancangan hiburan menarik khas buat tontonan seisi keluarga menerusi saluran TV2. Tujuh buah filem dan sebuah konsert bakal mengisi slot TV2 bermula 26 Disember 2016 hingga 1 Januari 2017.
Kemeriahan dimulakan dengan filem Ali Baba Bujang Lapok di slot Teater Legenda yang pasti buat penonton tidak kering gusi. Mengisahkan Ali Baba dan Kassim Baba, dua beradik yang berbeza status. Si adik iaitu Ali Baba seorang yang miskin manakala abangnya Kassim Baba seorang yang kaya. Suatu hari Ali Baba menemui harta sekumpulan penyamun di sebuah gua lalu menjadi kaya. Kassim Baba yang cemburu ingin tahu rahsia di sebalik kekayaan Ali Baba. Saksikan gelagat Aziz Satar, S. Shamsuddin dan P. Ramlee di saluran TV2 pada 26 Disember 2016, pukul 10.00 malam.
Kemeriahan Berganda Raikan Tahun Baru 2017 di RTM
Pada 27 Disember pula, gandingan lakonan hebat dari Datuk Rosyam Nor dan Ady Putra dalam “Balistik” menerusi slot CITRA pukul 10.00 malam. Mengisahkan seorang pembunuh upahan, Saga yang merupakan suami kepada Salina dan ayah kepada Rykarl. Sisi-sisi gelap kehidupan Saga yang sentiasa terdedah kepada bahaya memaksanya untuk berpisah dengan Salina. Namun, anaknya dibawa bersama. Saksikan gandingan Datuk Rosyam Nor bersama pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Ady Putra, Rita Rudaini, Jack Lim dan adik Rykarl Iskandar.
Seterusnya saksikan filem “PK” lakonan Aamir Khan menerusi slot Bollygood pada 28 Disember 2016, pukul 10.00 malam. Mengisahkan PK yang diturunkan dari kapal angkasa ke bumi dalam keadaan berbogel. PK tidak boleh bercakap tetapi mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi. Misinya ialah mengkaji kehidupan di bumi. Namun, misinya terbantut apabila rantai leher yang berfungsi sebagai alat komunikasi dengan kapal angkasa lepas telah diragut. PK berusaha mencari rantai tersebut supaya dia dapat pulang ke tempat asalnya. Turut membintangi filem ini ialah Anushka Sharma, Sushant Singh Rajput, Boman Irani, Saurabh Shukla dan Sanjay Dutt.
Filem popular berjudul “The Journey” akan menemui penonton di slot Golden Dragon pada 29 Disember 2016, pukul 10.00 malam. Mengangkat kisah Pakcik Chuan seorang bapa yang konservatif. Dia tidak berkenan dengan pilihan anaknya Ah Bee yang memilih Benji, lelaki berkulit putih. Bagaimanapun dia bersetuju untuk menerima pilihan Ah Bee tetapi dengan satu syarat, iaitu kesemua undangan perkahwinan perlu dihantar sendiri. Dengan hanya menaiki motosikal, bermulalah pengembaraan Pakcik Chuan dan Benji. Saksikan filem yang dibintangi Sai Peng Lee, Ben Pfeiffer dan Joanne Yew.
Selain itu, filem “The Pink Panther” akan menemui penonton pada 30 Disember, pukul 10.00 malam. Mengisahkan usaha Inspektor Clouseau dalam menyelesaikan kes pembunuhan seorang atlit terkenal dan menangkap pencuri berlian Pink Panther. Dibintangi Steve Martin, Kevin Kline dan Jean Reno.
Menjelang malam tahun baharu pula, TV2 akan menghiburkan penonton dengan “Konsert Aktif 7” pada 31 Disember, pukul 9.00 malam. Temui barisan artis terkenal tanah air seperti Alyah, Mimi One Nation Emcee, Ronnie Hussein, Waris, Sissy Iman, Khalifah, Forteen dan juga Azlan & The Typewriter.
Diteruskan pula dengan sebuah lagi filem antarabangsa lakonan Jude Law dan Forest Whiteaker yang menceritakan kehidupan di bumi pada tahun 2025 menerusi filem berjudul “Repo Man”. Kemuncak tahun baharu diteruskan pula dengan filem tamil “Alex Pandian” menerusi slot Spice Of India bersiaran pada 1 Januari 2017, pukul 2.00 petang. Ia berkisar tentang Alex Pandian yang diupah untuk menculik Divya anak perempuan ketua menteri selama tiga hari. Namun, Alex mengubah fikiran dengan menyelamatkan Divya daripada dijadikan tebusan. Lakonan mantap Karthi, Anushka Shetty dan Santhanam.
Teruskan dengan meluangkan masa menonton RTM dengan pelbagai program menarik sempena sambutan Tahun Baharu 2017 menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my) dan juga boleh ditonton melalui aplikasi rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.