Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan semula tayangan dua drama bersiri terbitan JS Pictures Sdn Bhd yang pernah mendapat tempat dan memberi keinsafan di penonton dengan plot kisah kekeluargaan menyayat hati untuk dikongsi sama dengan penonton setia salurannya.
Dua drama bersiri iaitu “Baitul Rahmat” disiarkan menerusi TV2 mulai 15 Jun lalu, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 5.30 petang manakala drama bersiri sarat air mata kisah kecekalan lima beradik mengharungi Ramadan tanpa ibu dan ayah bertajuk “Berlima Ramadan” mulai 17 Jun hingga 16 Julai depan, setiap hari, pukul 5.00 petang di TVi.
Menerusi “Baitul Rahmat”, babak Mak Munah (Engku Fridah Ku Shafie) menangis kesedihan apabila anak bongsunya, Husna (Azza Elite) meninggalkannya di rumah orang tua Baitul Rahmat berjaya menyentuh hati penonton RTM. Ia berkisar pergolakan adik-beradik Hashim, Hanim dan Husna untuk menjaga ibu mereka, Maimunah yang sudah tua dan semakin uzur.
Kerana pentingkan diri, mereka mengambil keputusan menghantar ibu mereka di bawah jagaan rumah orang tua Baitul Rahmat. Alasan mereka supaya ibu lebih terjaga dan teratur. Di sana Mak Munah bertemu dengan rakan-rakan senasib dengannya.
Banyak pengajaran boleh diambil daripada drama yang menampilkan barisan pelakon seperti Engku Fridah, Yatt Hamzah, Azza Elite, Kismah Johar dan Nor Albaniah.
Saksikan juga drama bertajuk ‘Berlima Ramadan’ lakonan Nazeera Sardi, Reen Rahim dan Syarul Ridzwan yang mengetengahkan watak utama kakak sulong, Hannan di samping adik-adiknya Muaz, Saiful, Nur dan Aiman pastinya semakin teruja mahu mengetahui babak-babak seterusnya yang berlaku dalam kehidupan mereka setelah kehilangan ayah dan ibu dalam kemalangan jalan raya.
Nenek mereka, Datin Azian ingin membantu cucu-cucu mereka namun dihalang oleh suaminya, Dato’ Munir. Dato’ Munir masih dengan keangkuhannya malah membawa isterinya untuk berehat di luar negara. Sementara itu sinar mula terpancar bila Hannan dihubungi oleh pihak zakat yang mahu membantu gadis itu dan adik-beradiknya.
Dugaan mereka datang lagi bila Saiful pula dikejarkan ke hospital dan tidak sedarkan diri setelah dibelasah teruk oleh Nasrul. Mereka beramai-ramai menunaikan solat hajat mendoakan kesejahteraan Saiful. Atas maklumat diberikan, Nasrul berjaya diberkas. Setelah sedar, Saiful disahkan buta dan mengalami komplikasi di bahagian otaknya dan koma semula.
Farid, teman lelaki Hannan yang bersimpati menyarankan agar kisah Saiful diuar-uarkan kepada media dengan harapan agar ada yang menghulurkan bantuan membiayai pembedahan Saiful. Hannan berkeras tidak mahu kerana Datin Azian sudah berjanji mahu membantu mereka.
Sekali lagi usaha Datin Azian jadi sia-sia. Dato’ Munir melarang keras bantuan diberikan kepada cucu-cucu mereka. Datin Azian hampa dan kesal dengan sikap suaminya namun tiada apa yang dapat dilakukan. Bala demi bala yang diterima keluarga Dato’ Munir yang disaman keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat runtuhan jalan raya dibina syarikatnya tidak sedikit pun menginsafkannya.
Doktor melakukan pembedahan kepada Saiful namun malangnya ketika pembedahan dijalankan, Saiful mengalami komplikasi dan doktor berusaha menyelamatkannya. Usah ketinggalan menyaksikan dua drama bersiri ini di RTM.