Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan kepada penonton tayangan dokumentari bertajuk “Titanic Sarawak” pada 6 Disember ini, pukul 3.05 petang menerusi TV1.
Merupakan hasil karya anak tempatan, Hereward Gramong menerusi produksi Allen Tinggie Trading Sdn Bhd berpangkalan di Sarikei, dokumentari ini bakal berkongsi kisah tragedi menimpa M. V. Pulau Kidjang, sejarah terburuk Sarawak dan mengorbankan seramai 121 nyawa.
Dalam tempoh satu jam siarannya, penonton dapat mengenang kembali peristiwa menyedihkan terutamanya bagi penduduk di Sarikei, Tanjung Manis dan Gerigat Kabong. Kejadian berlaku ketika kapal terbabit bersama pelbagai muatan kargo termasuk kenderaan, dalam pelayaran dari Kuching ke Sarikei.
Selain itu diselitkan juga temu bual bersama-sama pegawai terlibat dalam ekspedisi yang memberi gambaran jelas semasa ekspedisi menyelamat pada hari kejadian. Turut terlibat bekerjasama menjayakan dokumentari ini iaitu Jabatan Laut Kuching dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuching membantu ketika sesi penggambaran.
Ikuti kisah dokumentari insiden yang meninggalkan kesan mendalam kepada kalangan warga Bumi Kenyalang, lebih-lebih lagi ia berlaku dalam suasana sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu ketika itu di TV1.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.