Mencipta rekod dalam sejarah 74 tahun, RTM kini memiliki saluran berita khusus merangkumi hal ehwal semasa dan bual bicara yang dipancarkan pada definisi tinggi (HD). Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah melancarkan Saluran Berita RTM yang boleh ditonton melalui saluran MyFreeview 123 di lobi Wisma Berita, Angkasapuri, malam tadi.
Saluran Berita RTM Dilancar
Datuk Saifuddin berkata, Saluran Berita RTM lebih khusus dan menjadi medium terbaik untuk mengekang penyebaran berita palsu, ketika ini.
“Kaedah terbaik untuk membanteras berita palsu adalah dengan membanjiri segenap ruang dengan berita terbaik, sahih dan benar. Jadi, apabila ada saluran khusus 24 jam, mudah untuk berita disajikan,”
“Untuk berlawan dengan penyebaran berita palsu, kita harus membanjiri pasaran dengan berita baik seperti yang dipersembahkan RTM selama ini.
“Mahu berlawan dengan mereka yang gemar menyebarkan berita palsu menjadi sesuatu yang tidak akan berakhir.
“Namun, pada akhirnya, orang akan dapat membezakan antara yang palsu dan sahih dengan adanya medium berita seperti Saluran Berita RTM,”
– Datuk Saifuddin Abdullah
Saifuddin berbangga dengan RTM kerana menjadi saluran utama yang dipercayai sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
“Maklum balas daripada orang ramai terhadap berita RTM juga semakin hari, semakin baik kerana RTM dan Bernama menjadi penyiar utama untuk isu berkaitan Covid-19.
“Penonton ramai yang memberi tumpuan kepada berta RTM lebih-lebih lagi apabila RTM menyiarkan dua kali sidang media Covid-19 dalam sehari,”
“Malah, semua orang tertunggu-tunggu sidang media Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kementerian berkaitan,”
– Datuk Saifuddin Abdullah
Bertunjangkan slogan ‘Yang Sahih di Berita RTM’, Saluran Berita RTM adalah nukleus informasi yang bersiaran 24 jam sehari meliputi pelbagai bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.
Kandungan diperkasa melalui pengisian yang lebih komprehensif yang menawarkan 25 slot berita setiap hari, 12 bicarawara seminggu, berita bisnes (lima hari) dan dua program majalah setiap minggu.
Transformasi dinamik saluran baharu ini turut menawarkan pelbagai kelainan berbanding saluran TV lain kerana menyiarkan jajaran berita pelbagai bahasa bermula 12 tengah hari sehingga 2 petang diikuti 7 malam hingga 9 malam.
Sumber: BH Online Kredit Foto: NSTP