Untuk pertama kalinya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menggegar dunia penyiaran dengan pelancaran program terbaharu, 34-Je Kita Suka. Program yang berkonsep segar dan santai ini mempertemukan kesemua 34 stesen radio di bawah payung RTM, menandakan satu langkah inovatif dalam landskap penyiaran negara.
Program 34-Je Kita Suka dihasilkan secara berasingan oleh setiap stesen negeri dan kawasan, menyajikan konten-konten yang menarik dan bervariasi. Setiap episod akan disiarkan serentak setiap minggu pada hari dan waktu yang sama, memberi pengalaman mendinamakan selama 34 minit bermula dari Jumaat hingga Ahad, dari jam 3.40 petang hingga 4.14 petang.
Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), menekankan bahawa program ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi jenama radio di bawah RTM. Beliau berkata, “Program ini adalah peringatan kepada pendengar bahawa RTM mempunyai 34 stesen radio yang menyajikan pelbagai konten menarik. Kami berharap untuk merapatkan hubungan di antara stesen-stesen ini dan memberi peluang kepada pengiklan untuk mendapatkan liputan serata negara.”
Menurut Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, pelbagai topik santai dan kandungan kreatif bakal dikongsi oleh setiap stesen dengan kepelbagaian bahasa, dialek atau loghat mengikut negeri masing-masing.
“Kita sudah rancang program ini sejak tahun lepas. Selepas melihat kejayaan beberapa program besar yang dilaksana tahun lepas. Jadi ini merupakan penambahbaikan yang kita usahakan supaya program yang dilaksana terus berkualiti dan mendapat kejayaan lebih besar.
“Selain meneruskan apa yang sudah dilaksanakan, kita juga sedang meneliti idea-idea baharu untuk meningkatkan jumlah pendengar radio RTM.
“Saya juga diberitahu bahawa rakyat Malaysia yang berada di luar negara juga gemar mendengar radio RTM menerusi aplikasi RTM Klik. Perkara itu menggembirakan kerana kita boleh mengetengahkan kandungan kita ke luar negara termasuk kepada pendengar yang berkongsi bahasa seperti Singapura dan Indonesia. Kita sudah keluar dari cara mendengar radio tradisional kerana radio RTM boleh didengari di pelbagai platform”, katanya dalam sidang media di Angkasapuri.
“Meskipun persaingan dengan stesen radio swasta masih ada, namun RTM merupakan stesen radio yang bertujuan menyampaikan mesej pembangunan dengan disulam hiburan. Justeru kandungan radio tidak boleh membosankan. Kita harus lebih kehadapan dengan lebih menghiburkan untuk menjadi stesen radio yang digemari ramai. Tidak salah untuk memilih penyampaian lebih santai kerana apabila kita digemari, setiap mesej yang ingin disampaikan akan lebih efektif.
Tambahnya, “34 Je-Kita Suka” juga idea baharu untuk meningkatkan jumlah pendengar radio sepanjang tahun ini.
Program ini juga menjadi platform yang membuka peluang kepada penggiat industri seni dan karyawan tempatan untuk berkongsi maklumat, perkembangan semasa, dan keunikkan tempat mereka dengan komuniti setempat.
Topik-topik santai seperti hobi, seni muzik, seni halus, kandungan kreatif, tempat menarik, sejarah, makanan tempatan, pelancongan, warisan budaya, adat, tradisi, dan banyak lagi akan dikongsi oleh setiap stesen dengan pendekatan dan acuan yang khas.
Saifuzzaman Yusop, Pengarah Bahagian Program Radio RTM, menyatakan bahawa program ini dirancang sejak tahun lalu dengan tujuan utama memupuk kesatuan di kalangan 34 stesen radio di bawah RTM. “Kami percaya dalam kesatuan dan satu suara. Program 34 Je-Kita Suka menjadi wadah penyatuan untuk kesemua stesen radio, dan ini adalah sesuatu yang belum pernah dicuba sebelumnya di Malaysia.
RTM mempunyai stesen radio terbanyak di bawah naungannya, dan program ini menjadi satu lagi bukti inovasi dan kepimpinan dalam bidang penyiaran negara.” Program ini telah dirasmikan dengan penuh semangat di perkarangan Wisma Radio Angkasapuri dan disiarkan secara langsung melalui NASIONALfm dan portal RTMKlik, membawa warna baru dan kepelbagaian kepada pendengar setia RTM.