RTM DIDIK PENGGUNA ELAK TERTIPU DALAM DRAMA LANGSAI DI TV1
Saban hari kes-kes penipuan terhadap pengguna semakin hari semakin bertambah terutama melibatkan kes tertinggi yang dicatatkan iaitu berbentuk peraduan ‘Gores dan Menang’ di mana sebanyak 445 kes dan menyumbang 14.8 peratus pada keseluruhan statistik. Menurut statistik kajian dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), setakat Januari 2011, terdapat 41 peratus peningkatan kes di tribunal tuntutan pengguna.
Sedar tentang kepentingan untuk mendidik pengguna, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang baru sahaja menyambut ulangtahun ke-65 pada 1 April lalu dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyiarkan drama Langsai demi memberi penjelasan kepada penonton mengenai hak dan tanggungjawab mereka selaku pengguna.
Menerusi 13 episod siarannya, drama rantaian yang menggunakan pendekatan baru dalam dalam usaha menyebarkan pelbagai isu serta permasalahan kepenggunaan ini bakal disiarkan bermula 19 April 2011, setiap Selasa pada jam 7.00 malam di TV1.
Di samping matlamat utamanya untuk meningkatkan tahap kesedaran penonton mengenai hak kepenggunaan, Langsai sarat dengan unsur-unsur jenaka, ringan dan mudah dari segi penerimaannya. Diterbitkan oleh 3Line Media Sdn Bhd yang mendapat tajaan sepenuhnya dari Bank Rakyat dengan Kerjasama KPDNKK ini memaparkan tentang beberapa kisah benar yang melibatkan kes-kes tribunal tuntutan pengguna.
Pendekatan diambil menarik kerana ia di sampaikan dalam bentuk lakonan semula berdasarkan situasi sebenar yang diceritakan semula dibawah arahan pengarahnya, Shahrul Ezad yang baru-baru ini memenangi Pengarah Terbaik Anugerah Skrin TV3.
Setiap episod dilakonkan oleh barisan pelakon yang berbeza dengan tajuk episod yang berlainan. Antara pelakon-pelakon yang terlibat ialah Ijoy Azhari, Azza Elite, Kenchana Dewi, Syed Aiman, Wan Sharmila, Zed Zaidi, Zarina Zainuddin dan ramai lagi.
Antara kes yang dikongsi dengan penonton termasuklah isu ditipu pajak gadai, ditipu agen pelancongan, terbeli barang yang tidak berkualiti, ditipu skim ‘Kutu Siber’, penipuan ejen umrah, pakej rawatan dari sebuah pusat pelangsingan, melabur dalam bidang penternakan dan sebagainya yang realitinya benar-benar berlaku dalam bidang seharian.
Justeru usah ketinggalan untuk memupuk kesedaran anda sebagai pengguna dengan menyaksikan drama bersiri ini setiap Selasa pada jam 7.00 malam di TV1.