Konsert Sabyan & Seventeen yang sepatutnya akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur ditunda sehingga November depan.
Menurut penganjur iaitu RR Brothers Studio, faktor masa serta durasi persediaan agak pendek serta Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi menjadi punca penundaan konsert.
Terdahulu dalam laporan media semalam, kumpulan Sabyan dan Seventeen dilaporkan akan turun ke Malaysia bagi bertemu peminat pada 15 Oktober ini.
Kolaborasi antara kedua-dua kumpulan itu dianggap istimewa kerana kekuatan karya yang berunsurkan kerohanian dan alunan muzik mendamaikan sesuai dengan pasca sambutan Maulidur Rasul.
Perancangan konsert tersebut nyata mengujakan Sabyan yang akhirnya dapat kembali ke Malaysia selepas pandemik membadai.
Sementara Seventeen pula teruja untuk turun bertemu peminat di sini terutama selepas kumpulan itu hampir kehilangan semua anggotanya sewaktu bencana Tsunami melanda Tanjung Lesung, Banten, Pulau Jawa, Indonesia pada 2018.
Anggota yang terkorban adalah Bani, Herman Sikumbang dan Wisnu Andi Darmawan.
Turut terkorban, isteri vokalis Ifan Seventeen iaitu Dylan Sahara dan pengurus kumpulan itu Oki Wijaya serta Rukmana Rustam (kru).
Kesempatan turun ke konsert tersebut dilihat Seventeen sebagai peluang baik apatah lagi ini kali pertama mereka hadir dengan anggota baharu.
Pemilihan kumpulan Sabyan yang terkenal dengan lagu berunsurkan kerohanian antaranya Ya Habibal Qolbi, Deen Assalam dan Seventeen yang popular menerusi lagu Kemarin bertepatan dengan pasca sambutan Maulidur Rasul.
Menurut penganjur, tarikh baharu Konsert Sabyan & Seventeen akan diumumkan kelak.