Pada 4 April 2014, pelakon Rozita Che Wan (Cik Ta) telah mengadakan sidang media tergempar di Amp Walk untuk mewar-warkan kepada media tentang ada pihak yang menggunakan nama dan gambarnya untuk tujuan promosi produk kecantikan dan kesuburan tanpa kebenaran. Berikutan dari itu, Che Ta terpaksa menanggung kerugian hampir setengah juta ringgit.
Rozita atau nama sebenarnya Rozita Abu Bakar @ Che Wan, 40, berkata, akibat kejadian itu, dia mengalami kerugian kerana kehilangan kontrak bagi tawaran untuk menjadi duta beberapa produk gara-gara namanya dikaitkan dengan produk berkenaan di laman sosial Instagram dan Facebook.
“Saya mendapat tahu ada pihak menggunakan nama dan gambar saya yang disampaikan oleh wakil sebuah syarikat yang ingin mengambil saya menjadi duta produk mereka. Bagaimanapun syarikat tersebut enggan menjalinkan kerjasama dengan saya jika saya dikaitkan dengan produk berkenaan.”
Dalam pada itu, Rozita berkata peguamnya, Ahmad Fuad Hasim akan menghantar notis tuntutan kepada syarikat berkenaan agar tidak menggunakan namanya termasuklah menurunkan iklan mereka dalam masa terdekat.
Jelas Rozita, pihaknya akan memberi tempoh selama 14 hari untuk pihak berkenaan berbuat demikian sebelum mengambil tindakan saman di mahkamah.
”Kalau boleh saya tidak mahu membawa kes ini ke mahkamah dan sebab itu saya memberikan mereka notis untuk memadam semua iklan yang dimuat naik di laman sosial mereka. Sekiranya mereka tetap berdegil baharulah tindakan susulan akan diambil.”
Sementara itu, Rozita memberitahu, dia mengetahui ada pihak menggunakan gambarnya sebagai promosi produk tersebut sejak beberapa bulan lalu.
Rozita turut menegaskan dia tidak pernah terlibat atau mewakili mana-mana produk kecantikan kecuali Safi Rania Gold dan Longevite.
“Penjelasan ini diharap dapat memberi peringatan kepada pengusaha produk-produk yang lain supaya kes seumpama ini tidak di pandang ringan.”
Isu mengeksploitasi selebriti dan artis ini dah lama wujud dan Budiey rasa artis sewajarnya bertindak cepat untuk mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku kerana ini melibatkan reputasi, nama dan jenama artis tu sendiri. Bravo untuk Che Ta!