ROZITA CHE WAN MUNCUL BINTANGI DRAMA TEDUHAN KASIH DI TV2
Pelakon jelita Rozita Che Wan dilihat ‘mesra’ dengan watak wanita lemah-lembut yang sesuai dengan karektornya seharian dan penampilannya. Begitu pun menerusi drama Teduhan Kasih yang bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 12 Jun 2010 (Jumaat), jam 10.00 malam di TV2, kakak pelakon Ayu Raudhah ini membawakan watak ‘hitam’ yang mampu menguji sejauh mana kemampuannya menghayati watak seperti diingini pengarah drama ini.
Berpasangan dengan aktor Fauzi Nawawi selain Tony Eusof dan Hanis Kamal Bakar, drama ini berkongsi kisah penderitaan terpaksa dilalui kanak-kanak naif yang hidup terumbang-ambing setelah kematian ibu dan bapanya. Dia terpaksa mengharungi perjalanan hidup yang getir dipenuhi ranjau dan duri dalam usia yang begitu muda.
Pada masa sama masyarakat telah menghukumnya di atas kesalahan bapanya. Jalan sukar yang ditempuh tanpa bimbingan dan haluan. Mujurlah penderitaannya tidak berterusan selamanya, dia diselamatkan oleh seorang insan yang berhati mulia dari terus melarat dan menjadi sampah masyarakat. Banyak di antara yang menjadi mangsa sepertinya, yang bukan hanya memerlukan wang ringgit tetapi bimbingan dan tunjuk ajar.
Najman adalah seorang anak kecil yang ingin menumpang hidup di dunia yang penuh mencabar ini. Ibunya meningggal dunia dalam sebuah kemalangan dan bapanya merengkok dalam penjara kerana menjadi pengedar dadah. Ibunya meninggal dunia semasa usianya terlalu muda untuk mengerti sebuah kehidupan, hidupnya terumbang ambing, dia tinggal bersama neneknya kemudian bersama bapa saudaranya.
Setelah neneknya meninggal, bapa saudaranyalah yang telah menyara persekolahannya. Namun panas tidak sampai ke petang kerana kehadirannya di rumah itu kurang disenangi ibu saudaranya di mana di sinilah watak dibawakan Rozita Che Wan muncul sebagai mak cik yang tak berperikemanusiaan kerana sanggup menganiaya anak saudara sendiri.
Mujurlah keperitan hidupnya mendapat simpati dari seorang insan. Cikgu Salman yang sentiasa mengawasi perkembangan kanak itu semenjak dia menjejak kaki ke sekolah menengah. Dia yakin dengan kebolehan Najman.
Cikgu Salman banyak memain peranan dalam hidup kanak kanak ini walaupun dia tinggal bersama bapa saudaranya tetapi Cikgu Salman lah yang banyak mengorbankan masa dan tenaga untuk anak ini. Seorang guru yang amat memahami tentang latar belakang remaja ini tidak jemu jemu berusaha membantu walaupun ia sendiri mendapat tentangan dari banyak pihak.
Tugas yang dipikul membimbing anak remaja untuk kembali hidup seperti manusaia lain memang sukar. Cikgu Salman hampir tewas dan kecewa bila menempuh berbagai halangan dan dugaan. Namun adakah dia mampu menerusan perjuangannya itu?
Untuk mendalami erti pengorbanan seorang insan bergelar pendidik ini, usah ketinggalan menyaksikan Teduhan Kasih pada 12 Jun 2010 (Jumaat), jam 10.00 malam di TV2 mengisi slot tontonan ramai, Citra.