ROZE – HARUMAN TERBARU INDUSTRI MUZIK
Roze gadis kelahiran kota Singa ini muncul dengan HARUM. Sosok bernama lengkap Rozeanna Kasmani ini bakal memberikan wangian baru dalam blantika muzik serantau. Mengangkat irama R&B sebagai genre muziknya, Roze mula dikesan bakatnya oleh penyanyi Imran Ajmain ketika usianya baru menginjak 15 tahun. Roze adalah pesona Alibi Music yang terbaru.
Titik tolak pertama bekas pelajar Diploma Dalam Pengurusan Pelancongan ini bermula apabila beliau memenangi tempat pertama acara “Talentime” pada tahun 1999. Tahun 2004, Roze melakar sejarah tersendiri apabila memenangi pertandingan “The Uprising Star Award” for Loreal : Beyonce Sound & Lookalike Contest dan pertandingan itu telah membawa Roze terbang ke Tokyo bagi menyaksikan konsert bintang pujaannya Beyonce.
Minatnya yang mendalam dalam bidang nyanyian diteruskan dengan persembahan dalam beberapa acara seperti “Mosaic Music Festival”, “Hip Hop Hurray”, “Babe of The Week” di Radio Ria 89.75FM serta kemunculan kali pertama dikaca tv menerusi ‘Singapura Live’ terbitan Suria TV.
Kelunakan vokal Roze telah membuka peluang untuk beliau melatari suaranya untuk artis-artis seperti Taufik Batisah (Stuck Up Girl) dan Imran Ajmain (Kata Orang, Mengaku Kalah & Yang Ku Perlu). Beliau juga berpadu suara bersama Rauzan Rahman dan Urban Sensation menerusi “Kasih Mengapa”. Juga yang terbaru bersama Krazzie Starr menerusi single “Too Far”.
Menurut KC Ismail dari Alibi Music, pemilihan Roze sebagai ahli keluarga Alibi Music adalah kerana kemampuan vokalnya yang tersendiri serta unik. “Kali pertama melihat Roze menyanyi ketika Majlis Pelancaran Album SleeQ di Singapura, saya kagum dengan bakat istimewa yang ada padanya. Beliau mempunyai aura dan pesonanya yang tersendiri. Setiap yang melihat, pasti teruja.”
“Saya percaya keunikan vokal Roze dapat mewarnai industri muzik dan jarang bisa kita temui suara seperti ini.”
2010 telah membawa lembaran baru dalam diari seni Roze. Penantian sembilan tahun untuk bergelar sebagai penyanyi direalisasikan dengan tawaran daripada Alibi Music. Single HARUM bakal ke udara di radio penghujung Julai ini dan lagu ini telah pun di putarkan di Singapura dan telah mendapat tempat ke-2 di Radio Ria Singapura.
Mengenai HARUM
HARUM sebelum ini liriknya di dalam Bahasa Inggeris adalah lagu ciptaan sepenuhnya oleh Imran Ajmain dan Aliff Abdullah (SleeQ) dan lirik dialih bahasa oleh Shah Shamshiri.
Imran Ajmain – menyifatkan lagu ini terlalu istimewa baginya kerana sewaktu lagu ini dicipta beliau ingin menyanyikan lagu tersebut, namum begitu apabila diteliti bait-bait lirik, lagu ini amat kuat jika disampaikan oleh seorang wanita.
“Setelah menonton sebuah filem antarabangsa berjudul Perfume, saya terus tertarik dengan jalan cerita ini dan terdetik untuk menghasilkan lagu berdasarkan cerita berkenaan, maka lahirlah HARUM”. Lagu ini lebih menceritakan tentang bagaimana seseorang mahu memiliki cinta yang sejati, menjadikan wangian harum sebagai subjek penceritaan.”
Shah Shamshiri – sebagai penulis lirik, beliau menyifatkan vokal Roze sangat menakjubkan dan mampu menjadi pelapis kepada penyanyi R&B yang sedia ada.
“Wangian cinta yang ditinggalkan, itulah gambaran yang saya cuba luahkan didalam lirik lagu ini, setelah mendapat lirik asal didalam Bahasa Inggeris saya masih tidak tahu siapakah yang akan menyanyikan lagu ini, setelah mendengar hasilnya, Imran Ajmain membuat pilihan yang tepat untuk Roze menyanyikan lagu ini”.