Bekas isteri Awie iaitu Rozana Misbun akan melakukan langkah seterusnya untuk menuntut ganti rugi ‘patah hidung’ akibat dikerjakan bintang rock berkenaan biarpun dia sudah menerima permohonan maaf dibuat penyanyi itu.
Rozana, 38, berkata, dia dalam proses perbincangan dengan peguamnya untuk tindakan itu selain mahu mengemukakan saman malu diabkan selain difitnah oleh Awie selama ini.
“Harus saya tekankan bahawa saya berhasrat untuk menuntut ganti rugi bagi kecederaan kekal yang saya alami dimana hidung saya patah dipukul oleh Awie selain mengemukakan saman malu terhadapnya,†kata Rozana kepada mStar Online pada Selasa.
Terdahulu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, bebas tuduhan memukul Rozana mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan selepas dia bersetuju memohon maaf selain membayar kompaun sebanyak RM10,000 terhadap bekas isterinya itu.
Permohonan maaf dilakukan dalam prosiding di Mahkamah Majistret Ampang pada Isnin lalu.
Namun Awie dalam laporan akhbar pada Selasa berkata, keputusan membayar kompaun dan memohon maaf itu bukan bererti dia kalah sebaliknya ia dibuat selepas mengambil kira masa depannya dan anak-anak jika kes ini terus berpanjangan.
Bertitik tolak atas reaksi itu, mStar Online mengemukakan empat soalan untuk dijawab Rozana.
Pada 4 Julai 2014, Awie mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di mahkamah atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya pada ketika itu, Rozana Misbun di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana Ampang.
Kejadian itu berlaku pada tengah hari, 2 Jun 2014.
Apakah yang boleh Rozana simpulkan terhadap permohonan maaf Awie dan penyelesaian kes pukul ini?
Saya rasa lega bukan sedikit. Permohonan maaf Awie itu jelas membuktikan kebenaran pada pihak saya. Malah selama ini dia melemparkan pula tohmahan dan fitnah tidak berasas kepada saya dalam usaha mengalih perhatian orang ramai terhadap pertuduhannya itu.
Ia tidak lebih daripada cubaannya untuk menegakkan benang yang basah. Saya syukur kepada Allah kerana memperkenankan doa saya yang teraniaya ini.
Secara jujurnya adakah Rozana memaafkan perbuatan Awie walaupun sebelum dia bersedia berbuat demikian ketika di mahkamah?
Saya sudah lama maafkan perbuatan Awie tetapi sebagai manusia bukannya mudah untuk kita melupakan sesuatu peristiwa itu lebih-lebih lagi apabila ia mendatangkan kesan yang pahit.
Saya mahu hidup dengan tenang agar saya dapat besarkan anak-anak saya iaitu Merrah, Rezzki dan Qasseh tanpa perasaan negatif yang boleh mempengaruhi emosi serta tindak-tanduk mereka di kemudian hari.
Apakah harapan Rozana terhadap kes Rozana dan Awie seterusnya?
Saya tahu ramai yang kecewa dengan keputusan saya menerima permohonan maaf Awie malah ada yang kurang senang dengan kompaun RM10,000 itu. Sebenarnya jumlah itu adalah denda maksimum yang diperuntukkan bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun saya mahu tekankan di sini bahawa saya dalam proses perbincangan dengan peguam untuk meneruskan kes sivil yang berkaitan dalam usaha untuk menuntut ganti rugi begi kecederaan kekal yang saya alami ketika ini di mana hidung saya patah akibat dipukul.
Selain itu saman malu akan saya kemukaan terhadap Awie bagi menjernihkan kembali imej saya yang tercalar teruk di mata masyarakat kesan daripada satu demi satu kenyataan buruk serta tidak masuk akal yang dia berikan kepada media selama ini.
Saya mahu selepas ini dia mengunci mulut daripada berterusan mengaitkan saya atau mengaibkan saya lagi dalam hidupnya. Cukup-cukuplah!
Dua anak iaitu Putra Ahmad Rezzki (8 tahun) dan Puteri Qasseh Antasha (6 tahun) berada dalam jagaan Rozana sementara seorang lagi Putra Ahmad Merrah (9 tahun) dibela Awie. Anak-anak dalam jagaan Roznana macam mana?
Alhamdulillah… saya syukur dan bangga dengan ketabahan anak-anak yang bawah jagaan saya sekarang iaitu Rezzki dan Qasseh. Walaupun mereka terlalu mentah, mereka pandai membawa diri dan dapat menyesuaikan diri dengan fasa baru dalam hidup mereka dengan baik sekali.
Cuma saya tidak dapat menahan sebak setiap kali mereka bertanya bila abang Merrah akan pulang? Sedangkan hak penjagaan sementara anak tu diperoleh saya.
Sumber: Mstar Online