Rosyam Nor kini sibuk menghasilkan sebuah program realiti terbaru khusus untuk mencari wajah-wajah baru di dalam bidang lakonan berjudul Pilih Kasih. Idea untuk menghasilkan ‘Pilih Kasih’ tercetus apabila dia mahu menghasilkan filem baru berjudul ‘Kekasih’. Pemenang ‘Pilih Kasih’ akan diberi peluang untuk berlakon sebagai pelakon utama dalam filem tersebut. Dari perspektif yang lain pula, program ini pastinya akan memberi publisiti yang cukup baik untuk filem ‘Kekasih’ apabila diterbitkan kelak.
Pilih Kasih yang mula bersiaran di TV2 mulai 11 April selama empat bulan, akan melatih bakat-bakat yang terpilih hingga menjadi seorang pelakon yang versatil serta mampu memenuhi kriteria yang diingini dalam filem ‘Kekasih’.
Pilih Kasih’ tetap mengekalkan format program realiti yang lain di mana paparan perjalanan aktivtiti harian pelajar akan ditayangkan menerusi jurnal harian yang bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat sepanjang 12 minggu program tersebut ditayangkan.
Manakala tayangan perdana akan memaparkan pertarungan di antara peserta dalam mengekalkan kedudukan mereka. Penonton akan menyaksikan hasil lakonan setiap peserta melalui tayangan drama bersiri 10 minit, lakonan monolog dan teater muzikal yang akan dipersembahkan secara langsung di hadapan penonton selama 15 minit.
Pengkritik tetap yang akan membuat penilaian peserta adalah Dr. Abu Hassan yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Universiti Malaya dan Rosyam sendiri. Setiap minggu seorang pengkritik jemputan akan dijemput.
Rancangan ini terbuka kepada mereka yang meminati bidang lakonan dan berusia dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun. Siri ujibakat pula akan diadakan di Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Sarawak, Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.