Menurut berita yang dipetik dari Berita Harian, Datuk Rosyam Nor tetap menerima undangan berlakon dalam filem Tamil, Kabali, walaupun watak yang dipegang sangat kecil tetapi cukup bermakna menampilkan bintang terkemuka India, Rajinikanth. Berada di Chennai sejak semalam, pelakon dan produser itu berkata, tawaran berkenaan dianggapnya sebagai peluang keemasan bagi memungut pengalaman dan menambah profil kerjaya seni.
Selain Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 48, filem itu yang dijangka menemui penonton sekitar April depan, menampilkan dua lagi pelakon Malaysia, Norman Hakim dan Zack Taipan.
“Saya akan berada di India selama 15 hari. Selebihnya, iaitu kira-kira 20 hari lagi, menyaksikan penggambarannya dilakukan di Malaysia pula.
“Dalam filem ini, saya hanya memegang watak kecil, iaitu orang kanan kepada penjahat yang dilakonkan seorang pelakon Taiwan. Walaupun wataknya tidak besar, ia medan yang baik untuk mencari pengalaman, selain menambah profil saya sebagai pelakon,” katanya yang menerima tawaran berkenaan kira-kira dua minggu lalu.
Filem arahan Pa Ranjith itu ialah sebuah karya yang berlatarkan kisah berlaku di negara ini. Ia juga filem ke-159 lakonan bintang Tamil terbabit.
“Kali pertama ditawarkan berlakon oleh produksi luar, apatah lagi ia dibintangi aktor legenda, Rajinikanth, saya rasa peluang dihulurkan itu tidak patut diketepikan. Tambah pula saya dapat tahu ia menjadi filem kedua terakhir akan dilakonkan bintang tersohor itu,”
Ditanya pengalaman bekerja dengan produksi luar, Rosyam melihat setiap syarikat penerbitan mempunyai kelainan dan cara kerja mereka tersendiri.
“Produksi mereka sangat besar, membabitkan ratusan kru. Saya juga dapat perhatikan, mereka cukup profesional. Maklumlah, industri perfileman di India sudah lama berkembang dan bajet untuk produksi juga besar. Kita memang tidak boleh membandingkan produksi mereka dengan negara kita,” katanya.
Kabali yang turut dilakonkan Radhika Apte, Kishore, Kalaiyarasan, Dhansika dan Dinesh Ravi dikatakan menggunakan kos kira-kira RM80 juta. Selain India dan Malaysia, kisah mengenai dunia samseng itu turut menjalani penggambaran di Hong Kong dan Thailand.
Sumber: Berita Harian